MESEJ TULAR WABAK PENYAKIT TIDAK DIPASTI DI MIRI TIDAK TEPAT DAN PALSU – PENGARAH KESIHATAN

Mesej tular mengenai berlakunya wabak penyakit tidak dipasti di Miri adalah tidak tepat.

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sebentar tadi memaklumkan bahawa mesej tular mengenai berlakunya wabak penyakit tidak dipasti di Miri adalah tidak tepat.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim berkata, hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit, didapati tiada peningkatan ketara sebarang penyakit berjangkit di bandar raya itu sejak sembilan bulan yang lalu.

“Meskipun begitu, pihak pengurusan Hospital Miri mengesahkan bahawa sememangnya terdapat sedikit peningkatan kemasukan pesakit ke wad di Hospital Miri sejak awal Februari 2018, terutamanya di Wad Kanak- Kanak.

“Tren seperti ini sememangnya dapat diperhatikan berlaku setiap tahun selepas musim perayaan atau keraian.

Namun begitu tegasnya, kemasukan tersebut adalah disebabkan oleh pelbagai penyakit dan bukan hanya disebabkan oleh sebarang penyakit berjangkit yang spesifik.

 

Mesej yang turut ditularkan adalah mengenai ‘Memo Dalaman Hospital Miri: Notis Segera Penangguhan Pembedahan Elektif bertarikh 7 Mac 2018.’

Menurut Pengarah Hospital Miri, notis ini dikeluarkan berikutan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital tersebut secara keseluruhan, termasuk di Unit Penjagaan Rapi (ICU).

“Notis ini ditujukan kepada semua Ketua Jabatan di hospital tersebut dan bukannya kepada orang awam, dengan tujuan untuk tindakan menangguhkan buat sementara waktu kes pembedahan elektif (bukan pembedahan kecemasan).

“Ini bagi membantu menguruskan kes pesakit di wad dengan lebih efisien, berikutan beberapa kakitangan Dewan Bedah diminta membantu di wad.

Katanya, perkhidmatan hospital termasuk pembedahan, terutama bagi kes kecemasan adalah tidak terjejas dan masih diteruskan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak khuatir dan saya menyeru masyarakat khususnya netizen supaya berhenti menyebarkan berita-berita yang belum

disahkan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya orang ramai ingin mendapatkan kepastian dan pengesahan ke atas mesej-mesej yang telah ditularkan, bolehlah menghubungi Crisis Preparedness and Response Centre, JKNS di talian 082 443248.

Pihak JKNS dan Kementerian Kesihatan Malaysia katanya, akan memberi makluman lanjut kepada umum sekiranya terdapat sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara ini dari semasa ke semasa. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo