Maritim Malaysia Bakal Bantu Belia Tempatan Sertai Industri Perikanan Laut Dalam – Uggah

Industri perikanan mampu menjana peluang pekerjaan seperti pemprosesan makanan laut serta pelancongan selain menjadi sumber pendapatan untuk belia-belia yang berminat

KUCHING: Sebanyak 10,125 tangkapan pelbagai jenayah rentas sempadan di perairan negara berjaya dilakukan sejak tahun 2006, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semalam.

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah ini, tangkapan ini membabitkan sejumlah 255,524 penggeledahan dan ada kes berkait jenayah penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pendatang tanpa izin (PATI).

“Pada masa yang sama, kerajaan turut berjaya mengutip hasil sebanyak RM307 juta melalui lelongan ikan, kompaun, pelupusan serta denda asing nelayan.

“Pendapatan yang diperoleh daripada pendaratan hasil tangkapan pelbagai jenis sumber laut di Sarawak pada tahun 2016 mencecah RM862 juta dan dijangka mencapai RM1.083 billion pada tahun 2020,”katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Ke-13 Peringkat Wilayah Sarawak, dekat sini, pagi semalam.

Uggah berkata, industri perikanan mampu menjana peluang pekerjaan seperti pemprosesan makanan laut serta pelancongan selain menjadi sumber pendapatan untuk belia-belia yang berminat dalam bidang perusahaan perikanan laut dalam.

Kehadiran Maritim Malaysia katanya, dapat memberi perlindungan terhadap keselamatan dan kesejahteraan perairan terutama kepada komuniti nelayan ini di samping bertanggungjawab dalam memastikan kehilangan nyawa dan harta benda di laut dapat dibendung.

“Mereka turut membantu menyediakan khidmat sokongan kepada agensi-agensi yang memerlukan, selaras dengan usaha kerajaan untuk meneruskan momentum Transformasi Nasional 2050 (TN50) melalui pendekatan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’.

Tambahnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan Laut Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan untuk melatih belia-belia di Sarawak bagi menjalani latihan sebagai kelasi, jurumudi, juruenjin, jurupukat, juragan atau nakhoda yang bakal mengisi perjawatan dan keperluan tenaga manusia yang diperlukan dalam industri perikanan laut dalam di Sarawak.

“Syabas diucapkan kepada Maritim Malaysia kerana sudi menawarkan segala kemudahan seperti asrama, bengkel mekanikal, bengkel membaiki pukat, bilik kuliah, kolam renang dan latihan menaiki kapal-kapal yang terdapat di kompleks ini.

“Justeru itu, dengan adanya kemudahan dan kelengkapan yang sedia ada ini, kita berharap dapat menarik minat golongan belia untuk menjana pendapatan lumayan melalui industri perikanan laut dalam ini,”ujarnya. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo