Kerajaan Negeri Mahu Standard Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Setanding Changi — Abang Jo

Kita juga berhasrat untuk mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital di sekitar KIA bagi kita mengeskport produk dari Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mahu Kerajaan Sarawak dirundingi sekiranya Malaysia Airports Berhad merancang untuk menaik taraf lapangan terbang di negeri ini, terutama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Menurutnya, pandangan Kerajaan Negeri adalah penting, terutama dari segi reka bentuk agar ia selesa dan mesra penumpang.

“Kerajaan Sarawak tidak berhalangan jika mereka (Malaysia Airports) mahukan bantuan kita.

“Kita akan bekerja bersama dalam menaik taraf lapangan terbang ini, dan kita telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk melihat pembangunan lapangan terbang ini.

“Di pihak kita, ia akan diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing,” katanya ketika berucap melancarkan ‘Cashless in KIA’ anjuran Malaysia Airports pagi semalam.

Tegasnya, Kerajaan Negeri mahu pelan yang teratur dan sempurna dalam menaik taraf lapangan terbang ini, agar ia berwajah ‘antarabangsa’.

“Kalau namanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, tetapi tidak kelihatan ‘antarabangsa’, kita akan berasa malu.

“Kalau ia bertaraf antarabangsa ia perlu berwajah antarabangsa.

“Suasana perlu ada, termasuk di dewan pelepasan,” katanya lagi.

Tegasnya, kualiti yang ada perlulah memiliki ciri-ciri seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kalau di bawah standard kedua-dua lapangan terbang itu, jangan namakannya ‘antarabangsa’. Saya pun malu!

Katanya, di China, apa yang mereka lakukan ialah membina lapangan terbang yang besar dan selesa.

“Mereka agresif dalam membangunkan lapangan terbang kerana ia adalah pintu masuk ke negeri-negeri.

“Mereka menggunakan teknologi untuk menguruskan lapangan terbang ini.

Kerana itu tegasnya, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaik taraf semua lapangan terbang di negeri ini, termasuk bahagian kargo.

“Kita juga berhasrat untuk mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital di sekitar KIA bagi kita mengeskport produk dari Sarawak.

“Dan di kawasan pedalaman, kita turut mencadangkan pembinaan dua padang terbang di kawasan pertanian iaitu di Sadok dan Hulu Rejang bagi membawa produk pertanian kita terus ke pasaran.

“Untuk tujuan itu, kita telah memesan pembelian pesawat kargo tiga tan melalui Hornbill Skyways Sdn Bhd bagi membawa produk pertanian ini dari kawasan pedalaman ini.

“Semua ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya lagi.

Katanya, produk organik Sarawak kini telah mendapat tumpuan Singapura, yang menzahirkan hasrat sebagai pelanggan utama apabila ia beroperasi kelak.

Projek naik taraf KIA dijangka berlaku tidak lama lagi, termasuk pembinaan lapangan terbang tambang murah, dijangka terletak bersebelahan.

Kategori
Borneo