JBPM Tambah Balai Tingkatkan Masa Respons Di Sabah, Sarawak

Risiko tinggi dan jarak dari balai terdekat sangat jauh, akan diberi keutamaan

KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menambah balai bomba dan penyelamat di Sabah dan Sarawak bagi mempercepatkan masa respons kepada insiden kecemasan di dua negeri itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim berkata jabatan berkenaan sentiasa memberi keutamaan kepada pembinaan balai baharu di dua negeri berkenaan, khususnya  kawasan yang jauh dari balai terdekat.

“Kita akan membuat kajian secara menyeluruh dari segi menilai risiko kawasan seperti kepadatan penduduk, berapa banyak bangunan, perniagaan komersil dan aliran trafiknya.

 

“Kalau risiko tinggi dan jarak dari balai terdekat sangat jauh, kawasan ini akan kita beri keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Sabah di sini hari ini.

Wan Mohd Nor turut memberitahu Sabah akan memiliki tiga balai baharu tahun ini di Kimanis, Pitas dan Sook, manakala pembinaan balai di Putatan dijangka bermula tahun ini dan siap tahun hadapan.

Dalam memperbaiki masa respons kepada panggilan kecemasan, beliau berharap masyarakat, khususnya pengguna jalan raya, memberi kerjasama dengan memberi laluan kepada jentera bomba yang sedang bertugas.

Menurutnya, ketika ini, JBPM menyasarkan waktu tindak balas 10 minit untuk sampai ke tempat kejadian.

Kategori
Borneo