JABATAN PENDIDIKAN NEGERI AMAL SOP JELAS, TELUS DALAM PENGGAMBILAN GURU INTERIM, TEPIS TUDUHAN AZIZ ISA

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan telah diberi kuasa oleh KPM untuk melantik calon-calon yang berkelayakan sebagai guru interim

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam urusan pengambilan calon guru interim berkelayakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan telah diberi kuasa oleh KPM untuk melantik calon-calon yang berkelayakan sebagai guru interim.

“Bagaimanapun, penurunan kuasa ini bukan bermakna JPN Sarawak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kemasukan calon guru.

“Sebaliknya JPN Sarawak masih tertakluk kepada keputusan Ujian Psikometrik yang dikendalikan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang melayakkan mereka dipanggil untuk sesi temu duga.

Menurut jabatan tersebut, seramai 391 guru interim lepasan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) telah lulus temu duga pada 2016.

“Malah guru-guru itu diperaku pelantikan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

“Manakala, pada 2018 pula, seramai 30 graduan lepasan UniRazak yang telah dilantik sebagai guru interim.

Hal ini katanya, menunjukkan KPM sentiasa memberi peluang kepada graduan daripada semua institut pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk UniRazak untuk menabur bakti sebagai guru di sekolah kerajaan.

“Ini membuktikan KPM dan JPN Sarawak sentiasa terbuka terhadap semua cadangan dan teguran berkaitan urusan pengambilan guru interim.

“Selain itu, KPM juga prihatin dan sentiasa berlaku adil kepada pemohon atau calon yang berminat untuk menjadi guru di semua sekolah KPM termasuk di negeri Sarawak.

Bagaimanapun katanya, calon tersebut perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan berdasarkan pekeliling sedia ada.

“Tiada kompromi berkait syarat kelayakan calon guru bagi memastikan profesion guru terus berkualiti dan menjadi pemangkin melahirkan modal insan yang cemerlang pada masa hadapan.

Sebelum ini, kata jabatan itu, seramai 202 guru interim di Sarawak gagal dalam sesi temuduga oleh SPP namun diberi peluang kedua pada Jun tahun lalu.

Ia selaras dengan polisi 90:10, dengan kerajaan berusaha ke arah menjadikan 90 peratus daripada guru di Sarawak dalam kalangan penduduk Sarawak, dan pada tahun 2017, lebih 900 guru interim dalam kalangan anak Sarawak menghadiri temuduga SPP.

Kenyataan ini dibuat sebagai jawapan kepada kritikan Pembantu Khas Ahli Parlimen Stampin, Abdul Aziz Isa dua hari lalu yang menyatakan jabatan tersebut melakukan diskriminasi terhadap graduan tempatan UniRazak.

Aziz mendakwa permohonan mereka ini ditolak JPN tanpa alasan sedangkan mereka layak dan begitu teruja untuk mengajar di Sarawak.

Beliau mendesak 105 lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada universiti itu segera diterima masuk bagi menggantikan guru-guru dari luar yang berhijrah kembali ke Semenanjung, susulan pelaksanaan dasar nisbah guru 90:10. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo