Hanya Dua Jam Setengah Perjalanan Sibu Ke Kuching

Jalan pesisir, lebuh raya kedua dan 11 jambatan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun, dengan kos RM11 bilion. Tiada lagi Feri

KUCHING: Apabila jaringan laluan pesisir dan lebuh raya kedua Sarawak siap sepenuhnya menjelang tahun 2028, perjalanan dari Sematan ke Lawas akan disingkatkan lebih separuh daripada masa sekarang, maklum Timbalan Ketua Menteri,Tan Sri Dr Jemut Masing.

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan itu, kedua-dua projek tersebut akan bermula hujung tahun ini, dengan kos menjangkau RM11 bilion.

“Sejumlah RM6.4 bilion iaitu RM3.2 bilion untuk setiap projek dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Negeri manakala bakinya melalui peruntukan Kerajaan Pusat.

“Ini termasuk pembinaan 11 jambatan dari Sematan ke Miri, yang turut merangkaikan kawasan ‘terputus’ atau missing link,” katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Pembangunan Jalan Pesisir Sarawak, sebentar tadi.

Seminar di Hotel Imperial itu disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, pembinaan 11 jambatan yang menelan kos RM5 bilion penting kerana ia akan menangani penggunaan feri di semua tempat di sepanjang laluan itu yang terputus oleh sungai.

“Pada masa yang sama, jambatan ini dirancang untuk dikongsi oleh kedua-dua laluan alternatif ini,” jelasnya lagi.

Antara jambatan ini termasuklah Jambatan Batang Lupar sejauh 5 kilometer selain Jambatan Muara Lassa dan Batang Paloh.

Jalan pesisir sejauh 896 kilometer ini tegasnya, akan menyingkatkan jarak perjalanan dari semua arah di Bumi Kenyalang sambil menjadi alternatif kepada Lebuh Raya Pan Borneo, tanpa sebarang tol.

“Misalnya pada hari ini, perjalanan dari Sibu ke Kuching adalah selama lima ke enam jam, jarak itu dapat disingkatkan kepada dua setengah jam,” katanya lagi.

Antara jambatan yang terdapat dalam projek tersebut yang telah siap dan boleh digunakan termasuklah Jambatan Batang Sadong dan Kuala Tatau, manakala Jambatan Batang Samarahan dijangka boleh digunakan menjelang pertengahan tahun ini.

Kebanyakan projek lain masih dalam peringkat reka bentuk, tender dan pemilihan kontraktor, katanya lagi.

Sementara itu, Abang Johari ketika menjawab soalan media memberitahu, satu teknologi baharu sedang dikaji oleh Curtin University bagi menangani keadaan permukaan jalan yang ‘beralun’ seperti yang dialami oleh kebanyakan jalan di luar bandar Sarawak.

Teknologi ‘biocemented’ berasaskan bakteria ini dijangka dapat mengukuh postur tanah gambut dan sesuai untuk digunakan pembinaan jalan.

Dari segi bajet pula katanya, ia dirancang menerusi model Sarawak sendiri, terutama melalui Bank Pembangunan Negeri (DBOS).

“Kita tidak berkira kerana jalan dan jambatan ini penting untuk transformasi luar bandar negeri ini dari semua sudut, terutamanya ekonomi.

“Ia juga akan memudahkan kita memanfaatkan potensi yang ada.

“Biarpun membina jambatan menelan kos yang tinggi, namun hasil yang bakal diperoleh bakal lebih dari itu,” tambahnya lagi.

Kategori
Borneo