CUACA SEMAKIN BAIK,MANGSA BANJIR DI SARAWAK BERANSUR PULANG

Bahagian Bintulu pula menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu menjangkau 1,183 daripada 320 keluarga diikuti dengan Sibu iaitu 1,086 mangsa daripada 354 keluarga

KUCHING: Cuaca semakin baik sejak semalam di Sarawak dan menjadikan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mulai berkurangan sedikit pagi ini berbanding malam tadi, malah ia dijangka akan lebih ketara pada sebelah petangnya.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), setakat 8 pagi ini 3,092 mangsa masih berada di 14 pusat pemindahan banjir sementara yang dibuka di enam bahagian di Sarawak, berbanding 3,173 mangsa malam tadi.

Empat PPS dibuka di bahagian Sibu, masing-masing tiga di Serian, Bintulu, dua di Mukah dan masing-masing satu PPS di Sarikei serta Limbang, menempatkan 3,092 mangsa daripada 974 keluarga.

“Bahagian Bintulu pula menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu menjangkau 1,183 daripada 320 keluarga diikuti dengan Sibu iaitu 1,086 mangsa daripada 354 keluarga,” katanya.

Jumlah sekolah yang ditutup kekal 48, namun hari-hari mendatang yang dijangka cerah menjanjikan keadaan semakin beransur pulih dan lebih ramai mangsa akan dibenarkan pulang hari ini.– BERNAMA

Kategori
Borneo