BN Sarawak Komited untuk Runding Penurunan Kuasa Kerajaan Persekutuan Kepada Negeri

Datuk Seri Mohd Najib Razak telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa tertinggi di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk merundingkan hak-hak ini.

KUCHING: Penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri terus menjadi agenda Barisan Nasional (BN) Sarawak jika ‘menang’ dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan, pihaknya mahu memastikan kuasa diturunkan kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program dan projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana Kerajaan dan pentadbiran Negeri lebih memahami keperluan rakyat Sarawak.

“Ia juga untuk memastikan pelaksanaan program dan projek ini dilakukan dengan cekap dan berkesan.

Setakat ini katanya, hasil rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, 13 perkara berjaya dikembalikan kepada Sarawak.

“Ini termasuk membenarkan Peguam Besar Persekutuan melantik pegawai daripada Pejabat Peguam Besar Negeri sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa dan mengendalikan kes-kes di bawah Undang-undang Negeri.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu merujuk kepada Kerajaan Negeri sebelum meluluskan permit Perikanan Laut Dalam, serta menambah bilangan pelajar Sarawak yang mengikuti kursus ijazah perubatan di universiti-universiti awam termasuk UNIMAS.

Penurunan kuasa lain termasuklah merujuk kepada Kerajaan Negeri berhubung perkara-perkara mengenai alam sekitar seperti yang terkandung dalam Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
“Dipersetujui juga, penubuhan jawatankuasa bersama yang bertanggungjawab ke atas program pembangunan perumahan biayaan Persekutuan di negeri ini.

“Rundingan sebelum ini juga bersetuju menyerahkan Jabatan Kebajikan dan semua fungsinya kepada Kerajaan Negeri selain menguruskan bersama pembangunan sukan di negeri Sarawak.

Pencapaian lain kata Abang Johari, adalah memastikan Jabatan Imigresen Negeri dapat meningkatkan kerja-kerja penguatkuasaan dengan mewujudkan 100 jawatan baharu.

“Perbincangan juga dilakukan supaya menjelang akhir tahun 2018, 90 peratus daripada guru-guru di Sarawak adalah anak jati tempatan.

“Kita juga bersetuju bahawa sebarang cadangan enakmen atau pindaan semua undang-undang Persekutuan yang memberi kesan kepada Sarawak mestilah dirujuk kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Persetujuan lain katanya, termasuklah memastikan semua projek biayaan Persekutuan yang hendak dilaksanakan di Sarawak mestilah dirujuk kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan juga dikehendaki menurunkan kuasa kepada suruhanjaya peringkat negeri untuk melantik pegawai-pegawai baharu di negeri ini, selain memberi kuasa warden trafik kepada pihak berkuasa tempatan negeri ini seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

Manifesto BN Sarawak untuk lima tahun lagi kata Abang Johari, adalah untuk terus menuntut hak Sarawak, dan mengembalikan kedudukannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang asal.

“Kita akan terus menuntut hak ke atas minyak dan gas yang melampaui Ordinan Perlombongan Minyak, selain perkara-perkara mengenai pelancongan, alam sekitar, belia dan sukan.

BN Sarawak juga tegasnya, akan mempertingkat penurunan kuasa kepada Sarawak, dengan Kerajaan Negeri akan membuat keputusan berkenaan polisi dan amalan unik kepada Sarawak biarpun tidak konsisten dengan polisi dan amalan Kerajaan Persekutuan.

“Penurunan kuasa juga dituntut untuk melaksanakan projek biayaan Persekutuan di negeri ini, selain meningkatkan desentralisasi kuasa ke atas hal-hal pendidikan dan kesihatan.

“Dari sudut kewangan, BN Sarawak menuntut peningkatan Geran Khas daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan, selain pengembalian kuasa untuk memungut Duti Setem ke atas transaksi berkaitan tanah.

Sarawak jelasnya, turut menuntut pampasan kepada Kerajaan Negeri atas kehilangan pendapatan dengan pemansuhan duti import produk petroleum.

“Selain itu, semua hak lain Kerajaan Negeri yang terhakis selepas 1963
akan terus kita tuntut,” katanya lagi.

BN Sarawak tambahnya, yakin usaha ini akan dapat diperoleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa tertinggi di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk merundingkan hak-hak ini. — Sarawakvoice

Kategori
Borneo