Abang Jo: Kemenangan Besar Penting Untuk Tuntut Hak Sarawak Di Bawah MA63

Kita harus kuat di Parlimen. Kita mesti cuba seberapa boleh untuk memenangi 31 kerusi. Jika kita tidak dapat memperoleh 31 kerusi, sekurang-kurangnya kita menawan kembali beberapa kerusi dari DAP

SIBU: Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata bagi membolehkan kerajaan negeri menggunakan kuasanya mengukuhkan tuntutan Sarawak berhubung hak dalam minyak dan gas, amatlah penting Barisan Nasional (BN) menambah jumlah kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Abang Johari berkata, tiada siapa boleh memperjuangkan hak Sarawak kecuali anak jati Sarawak sendiri.

Tuntutan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan semula hak dan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Tegasnya,   tidak seperti pembangkang, presiden parti-parti komponen BN di negeri ini ialah anak tempatan Sarawak.

“Siapa Presiden DAP? Berapa ramai anak Sarawak menjadi anggota Jawatankuasa Kerja Pusatnya? Hanya seorang. Bagaimana mereka dapat berjuang menuntut hak Sarawak?” tegasnya.

“Kita harus kuat di Parlimen. Kita mesti cuba seberapa boleh untuk memenangi 31 kerusi. Jika kita tidak dapat memperoleh 31 kerusi, sekurang-kurangnya kita menawan kembali beberapa kerusi dari DAP,” kata beliau.

Kata Ketua Menteri, BN dapat memenangi kerusi tersebut jika semua parti komponen bekerja keras supaya rakyat tahu bahawa mereka bersatu, dan akhirnya ia mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak berkata demikian pada acara sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Sibu di Pusat Sivik Sibu, semalam.

Pada PRU 2013, BN Sarawak memenangi 25 daripada 31 kerusi Parlimen.

DAP memenangi lima, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi.

Pada PRU-14 yang dijangka diadakan pada akhir April atau awal Mei, BN Sarawak difahamkan  diberi sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi Parlimen.

Beliau berkata memenangi kerusi terbabit penting demi kepentingan 2.7 juta rakyat Sarawak.

Pada PRU lalu,  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tujuh kerusi, Parti Rakyat Sarawak di enam kerusi dan Parti Demokratik Progresif (PDP) empat kerusi.

Dipercayai formula berkenaan akan dikekalkan dalam PRU-14. — Sarawakvoice

Kategori
Borneo