Abang Jo Enggan Cakap Banyak, Mahu Senyapkan Pengkritik Dengan Keupayaan Petros

Sarawak sebahagian daripada pemain utama dan bukan pemerhati dalam industri ini.

KUCHING: “Saya tidak mahu cakap banyak.”

“Yang terbaik biar saya laksanakan (rancangan Petros) terlebih dahulu!” kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kudei semalam.

Beliau mengulas pertanyaan wartawan tentang pandangan skeptikal sesetengah pihak tentang peranan Petros atau Petroleum Sarawak Berhad, dan langkah menuntut royalti minyak daripada Petronas.

Abang Johari jelas mahu usaha memajukan hasil galian minyak dan gas Sarawak yang baharu diperolehi semula itu diberi tumpuan sepenuhnya.

Sarawak menubuhkan Petros pada tahun lalu, pada asalnya untuk menggiatkan aktiviti huluan dan hiliran, serta bekerjasama dengan Petronas dalam memajukan industri minyak dan gas.

Namun seiring dengan kuasa yang diperoleh, ia kini mempunyai lesen daripada Kerajaan Negeri untuk melakukan eksplorasi dan cari gali.

Ini selari dengan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sarawak sebahagian daripada pemain utama dan bukan pemerhati dalam industri ini.

Untuk rekod, Sarawak merupakan negeri pertama yang memiliki petroleum di negara ini, dengan minyak mula ditemui sejak 1901 di Miri.

Bagaimanapun hak ini diambil alih Petronas apabila Akta Pembangunan Petroleum 1974 dikuatkuasakan.

Bagaimanapun susulan penghantaran pasukan peguam ke London untuk melakukan penyelidikan khusus mengenai penurunan kuasa Pusat ke Negeri , Kerajaan Negeri ‘menemui semula’ ordinan era Koloni British yang masih aktif, yang menyebut tentang pemilikan negeri terhadap perlombongan minyak dan gas di negeri ini

Antara ordinan penting itu ialah Ordinan Perlombongan Minyak 1954 yang tidak pernah dimansuhkan.

Malah ia diperkukuh dengan peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan bahawa kuasa perlombongan minyak dan sumber asli sebenarnya berada di bawah Senarai Negeri.

Kenyataan Abang Johari ini sekali gus menepis kata-kata mengenai tuntutan royalti 5 ke 20 peratus daripada Petronas, yang sebenarnya masih berlangsung, biarpun kuasa yang dimiliki oleh Sarawak kini lebih besar. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo