740 PELANGGARAN UNDANG-UNDANG BURUH DIKESAN DI PREMIS MAKANAN SARAWAK

Operasi khas itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pematuhan undang-undang dalam kalangan majikan, di samping memastikan pekerja-pekerja memahami hak-hak mereka di bawah undang-undang buruh

KUCHING: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak semalam menjalankan operasi serentak di premis-premis makanan seluruh negeri Sarawak dengan sebanyak 740 pelanggaran peraturan dan undang-undang berjaya dikesan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan jabatan itu di sini, menerusi operasi yang dilaksanakan di 140 tempat pekerjaan pihaknya mengesan kes-kes antaranya seperti kegagalan majikan menyimpan daftar peribadi (99 kes), gagal menyimpan daftar terma dan syarat penggajian (94 kes), gagal menyimpan daftar gaji dan elaun (85 kes), gagal memberi daftar gaji dan elaun kepada pekerja (68 kes).

Gagal membayar gaji kerja hari kelepasan (35 kes), gagal membayar gaji minimum (32 kes), gagal memberi pekerja satu hari rehat setiap minggu (31 kes) dan pelanggaran-pelanggaran lain.

Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah mengeluarkan 125 notifikasi pelanggaran kepada majikan terbabit bagi memastikan mereka mengambil tindakan pembetulan.

Selain daripada itu, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat pelanggaran di bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), iaitu menggaji pekerja bukan pemastautin tanpa lesen, menurut kenyataan itu.

Operasi hari ini diketuai oleh Ketua Bahagian Standard Perburuhan Jamillah Putit dengan melibatkan 67 pegawai penguat kuasa dari ibu pejabat di Kuching dan 16 pejabat cawangan di seluruh negeri.

Menurut kenyataan itu, operasi khas itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pematuhan undang-undang dalam kalangan majikan, di samping memastikan pekerja-pekerja memahami hak-hak mereka di bawah undang-undang buruh.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa operasi serupa telah dijalankan pada Jun dan Julai lepas dengan sebanyak 167 pemeriksaan tempat pekerjaan telah dilaksanakan di sektor perdagangan borong, runcit, pembaikan kenderaan motor dan motosikal, pembuatan, kesenian, hiburan dan rekreasi.

Dalam operasi tersebut, katanya sebanyak 931 pelanggaran telah dikesan dan 921 daripadanya telah diberikan notifikasi pelanggaran, manakala 10 pelanggaran yang lain telah dibuka kertas siasatan.

Katanya, kertas siasatan yang telah dibuka adalah berhubung dengan pelanggaran berkaitan penggajian pekerja bukan pemastautin tanpa lesen sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), manakala pelanggaran yang diberikan notifikasi pelanggaran melibatkan peruntukan lain di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Pampasan Pekerja 1952.

Di samping itu, kenyataan itu juga menyebut bahawa Jabatan Tenaga Kerja Sarawak juga menjalankan pemeriksaan berkanun dari semasa ke semasa di tempat pekerjaan.

Katanya, dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 4,699 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Sarawak yang meliputi undang-undang perburuhan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak termasuk Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak juga turut menjalankan sebanyak 4,378 pemeriksaan ke atas majikan di seluruh negeri Sarawak berhubung Perintah Gaji Minimum 2016.

Selain itu, katanya dari tempoh Januari hingga Julai 2018, sebanyak 94 kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.–BERNAMA

Kategori
Borneo