Jelas bekas pengendali Everton itu, mentaliti tersebut yang ditanam telah menjadi ramuan terbaik kepada mereka apabila menewaskan Brazil 2-1 pada saingan suku akhir baru-baru ini.

“Pasukan Belgium perlu bermain tanpa rasa takut. Jika kami takut dan tidak percaya dengan kemampuan diri, ia akan meruntuhkan moral para pemain dan mungkin akan mengakibatkan para pemain tidak boleh beraksi pada prestasi yang diharapkan.

“Boleh saya katakan bahawa mentaliti tersebut juga telah membantu kami menewaskan Brazil. Saya fikir Perancis juga berasa tergugat apabila terpaksa menentang kami. Justeru, Belgium perlu melawan ketakutan dengan diri sendiri dahulu sebelum turun ke gelanggang,” katanya.

Mengulas lanjut, Martinez berkata, selain kekuatan mental, skuad The Red Devils juga harus beraksi secara berpasukan walaupun ada dalam kalangan pemainnya memiliki kemahiran secara individu.

“Pada tahap ini, perkara pen­ting yang perlu kami titikberatkan ialah mereka perlu beraksi secara berpa­sukan jika mahu menjadi jua­ra. Para pemain perlu buang sikap pentingkan diri di atas padang,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengendali ber­usia 44 tahun itu percaya pembantu jurulatih, Thierry Henry mempunyai cara untuk mengekang ‘ayam tambatan’ Perancis, Kylian Mbappe pada perlawanan tersebut.

“Jelas sekali Mbappe adalah ancaman besar ke­pa­da kami tetapi saya yakin Henry ada cara ter­sendiri untuk meneutralkan impak Mbappe di atas padang,” kata­nya. – Agensi