Banduan seluruh AS lancar mogok

78 WASHINGTON: Banduan semua penjara di Amerika Syarikat (AS) melancarkan mogok, mulai semalam menuntut supaya institusi koreksional negara itu ditambah baik termasuk keadaan hidup, proses parol dan pengembalian hak...

WASHINGTON: Banduan semua penjara di Amerika Syarikat (AS) melancarkan mogok, mulai semalam menuntut supaya institusi koreksional negara itu ditambah baik termasuk keadaan hidup, proses parol dan pengembalian hak mengundi.

Kadar banduan AS adalah yang tertinggi di dunia, kira-kira 2.2 juta sehingga akhir 2016. Kesatuan Kebebasan Awam Amerika berkata, ia mewakili satu per lima populasi banduan dunia.

Mogok itu dijangka berlangsung sehingga 9 September depan, menurut penganjur. Ia dilakukan sebagai tindak balas terhadap rusuhan membawa maut di sebuah penjara kawalan maksimum di South Carolina, pada April lalu.

“Tujuh rakan kita menjadi korban, ketika rusuhan yang sepatutnya dapat dielakkan jika penjara tidak begitu padat daripada hukuman penjara besar-besaran disebabkan sikap tamak.

“Ia juga menunjukkan betapa kurangnya hormat terhadap nyawa manusia yang menjadi nilai institusi penjara negara kita.

“Mereka menuntut keadaan hidup berperikemanusiaan, akses kepada pemulihan, reformasi hukuman dan supaya amalan hamba moden dihentikan,” menurut kenyataan kumpulan aktivis hak banduan yang mengetuai mogok itu, Jailhouse Lawyers Speak.

Penganjur di seluruh AS meminta banduan supaya melakukan mogok duduk secara aman, mogok lapar atau berhenti daripada melakukan kerja. – AFP

Kategori
BeritaDunia