13 maut bom meletup di Peshawar

73 PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 13 maut, termasuk seorang ahli politik apabila pengebom nekad meletupkan bom pada satu kempen pilihan raya di barat daya Pakistan, semalam. Menurut polis, pengebom nekad itu...

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 13 maut, termasuk seorang ahli politik apabila pengebom nekad meletupkan bom pada satu kempen pilihan raya di barat daya Pakistan, semalam.

Menurut polis, pengebom nekad itu menyasar kempen pilihan raya anjuran Parti Kebangsaan Awami (ANP) di sini, yang sebelum ini pernah menjadi sasaran pengganas berikutan kenyataan tegasnya terhadap kumpulan militan seperti Taliban.

Insiden letupan itu berlaku beberapa jam selepas jurucakap tentera Pakistan mengumumkan bahawa wujudnya ancaman keselamatan menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai ini.

“Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 mangsa, termasuk (Haroon) Bilour,” kata ketua polis bandar Peshawar, Qazi Jameel kepada AFP.

Pihak berkuasa berkata, seramai 54 lagi mangsa cedera.

Haroon Bilour adalah salah seorang calon pilihan raya mewakili ANP dan beliau berasal dari keluarga berpengaruh dalam politik di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.

Bapanya, Bashir Bilour, iaitu antara pemimpin utama ANP, maut dalam serangan pengebom nekad pada 2012.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan, menunjukkan insiden itu angkara pengebom nekad dan Haroon Bilour adalah sasaran serangan,” kata pegawai polis, Shafqat Malik kepada AFP. – AFP

Kategori
BeritaDunia