12 perisik Russia didakwa di AS

42 WASHINGTON: Dua belas pegawai perisik Russia didakwa di Amerika Syarikat semalam, tiga hari sebelum Presiden Donald Trump dijadualkan bertemu Presiden Vladimir Putin, kerana campur tangan pada pilihan raya...

WASHINGTON: Dua belas pegawai perisik Russia didakwa di Amerika Syarikat semalam, tiga hari sebelum Presiden Donald Trump dijadualkan bertemu Presiden Vladimir Putin, kerana campur tangan pada pilihan raya presiden 2016.

Diumumkan oleh Timbalan Peguam Negara Rod Rosenstein, dakwaan itu dirangka oleh Pendakwa Raya Khas, Robert Mueller, bekas pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang menyiasat campur tangan Russia pada pilihan raya November 2016 itu.

Rosenstein memberitahu wartawan, pegawai tentera Russia itu dituduh ‘bersubahat campur tangan pada pilihan raya presiden 2016’ termasuk menggodam emel Parti Democrat menjelang pilihan raya.

“Sebelas defendan didakwa dengan bersubahat menggodam komputer, mencuri dokumen dan menyiarkan dokumen berkenaan dengan niat untuk campur tangan.

“Seorang daripada mereka dan pegawai ke-12 didakwa dengan bersubahat menyusup masuk ke pertubuhan komputer yang terbabit dalam mentadbir pilihan raya,” katanya.

Rosenstein berkata, beliau sudah memberi taklimat kepada Trump mengenai pendakwaan itu sebelum pengumuman dibuat.

Trump, yang kini melawat Britain, dijadualkan bertemu Putin di Helsinki Isnin ini. – AFP

 

Kategori
BeritaDunia