Semua pemilik kolam dan tempat tadahan air wajib memasang pagar

Ia susulan kejadian dua kanak-kanak berusia 5 tahun terjatuh ke dalam kolam tadahan air di Kampung Baru Padang Lalang, dekat Kuala Nerang, Kedah, dua hari lalu.

KUALA NERANG: Kesemua kolam dan tempat tadahan air di negeri Kedah wajib memasang pagar, tegas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga dan Perumahan negeri Datuk Badrul Hisham Hashim.

Ia susulan kejadian dua kanak-kanak berusia 5 tahun terjatuh ke dalam kolam tadahan air di Kampung Baru Padang Lalang, dekat Kuala Nerang, Kedah, dua hari lalu.

Jelas Badrul Hisham perkara ini dipandang serius kerajaan negeri kerana dalam kejadian itu telah mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak yang ditemui mati terapung di dalam kolam bersama sorang lagi rakannya yang kini dalam keadaan kritikal tidak sedarkan diri.

“Kepada pengusaha-pengusaha ataupun pemilik-pemilik tanah yang ada kawasan kolam yang masih digunakan ataupun kolam terbiar, saya menasihati mereka agar memasang pagar untuk mengelak kejadian tidak diingini,” kata Badrul Hisham.

Ini katanya, bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku pada masa hadapan supaya tiada pihak yang menuding jari selepas kejadian.

Justeru beliau turut meminta semua Pejabat Daerah memantau dan mengenal pasti kawasan yang menjadi takungan air disetiap kawasan mereka dipagar atau dikambus sekiranya tidak digunakan lagi.

Terdahulu beliau turut melakukan tinjuan ke kolam tadahan air di Kampung Baru Padang Lalang, di mana lokasi kejadian dua kanak-kanak terjatuh dan ditemui lemas.

Dalam kejadian pada 13 julai seorang kanak-kanak Nur Damia Nadhirah Shahrudin, 5, ditemui mati terapung di dalam kolam tadahan air manakala seorang lagi rakannya Muhammad Rusyaidi Muhammad Na’am, 5, ditemui tidak sedarkan dirI.

Kedua-dua kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain di kawasan dusun terbabit bagaimanapun dikatakan telah pergi ke kolam itu sebelum terjatuh dan ditemui lemas.

Kategori
Berita