UMNO Selangor Umum Siri Jelajah Bakal Menampilkan Mat Taib

UMNO Selangor mengumumkan akan mengadakan siri jelajah penerangan di negeri itu dengan menampilkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang baru kembali ke pangkuan parti tiga minggu lalu, sebagai tokoh utama.

Umno Selangor mengumumkan akan mengadakan siri jelajah penerangan di negeri itu dengan menampilkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang baru kembali ke pangkuan parti tiga minggu lalu, sebagai tokoh utama.

Siri jelajah yang dinamakan ‘Jelajah Penerangan Isu-Isu Semasa’ itu bertujuan membolehkan Muhammad atau Mat Taib mengetengahkan sebab-sebab beliau kembali kepada Umno bagi memberi peringatan kepada pengundi.

“Untuk membolehkan Tan Sri Muhammad dalam ruang lingkup semasa beliau berada dalam Pakatan Rakyat (PR) satu ketika dan Pakatan Harapan (PH) untuk ketengahkan sebab dan peringatkan pengundi Selangor khususnya bahawa perkara yang sepatutnya mereka tahu tentang kerajaan PR atau PH pada hari ini,” kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail dalam sidang media di pejabat Umno Selangor di sini hari ini.

Beliau memberitahu ceramah siri pertama akan berlangsung pada 17 Oktober ini di Lembah Jaya, dan diikuti di Meru pada keesokan harinya, manakala 28 Oktober pula di Dusun Tua.

Ketika ditanya sama ada Mat Taib masih berpengaruh, Zein berkata Umno Selangor yakin dengan kekuatan pengaruh tokoh itu meskipun timbul cakap-cakap khususnya daripada pembangkang yang memperlekehkannya selepas pemimpin itu mengumumkan kembali ke pangkuan Umno.

Zein berkata, dengan pengalaman tokoh veteran itu di peringkat Selangor dan pusat, Mat Taib bukanlah calang-calang pemimpin.

“Kalau pemimpin Umno masuk DAP, PPBM atau PKR, seolah-olah dia hero. Tapi bila pemimpin Melayu di sebelah sana mahu masuk Umno lebih-lebih lagi bekas pemimpin Umno, kita selalu melihat perkara itu kecil.

“Tan Sri Muhammad telah jadi menteri besar selama 11 tahun, mempengerusikan Umno negeri, pengalaman sebagai menteri, naib presiden Umno, Ketua Penerangan Umno, sudah tentu dia bukan tokoh kecil.

“Kalau nak kira gerak kerja selaku menteri besar, saya lihat banyak jasanya kepada Selangor,” katanya.

Mat Taib mengumumkan kembali menyertai Umno pada 17 September lalu selepas meninggalkan parti itu pada 2013.

Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Umno sebelum keluar daripada parti itu untuk menyertai PAS. Beliau kemudian keluar daripada PAS dan menyertai PKR pada 2015.

Keputusan Muhammad kembali ke Umno dilihat akan memperkuatkan kempen parti itu untuk menawan semula Selangor daripada pembangkang yang dipimpin oleh PKR sejak 2008.

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar sebelum ini berkata dua lagi bekas menteri besar negeri itu akan turut sama berganding bahu bagi memastikan Umno-BN menawan kembali negeri tersebut pada PRU14.

Noh merujuk kepada Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo, tokoh yang pernah mentadbir Selangor sebelum ini.

Bagaimanapun pemimpin pembangkang menyifatkan gabungan tiga bekas menteri besar Selangor itu tidak akan berjaya dalam misi berkenaan kerana rakyat negeri itu tahu mengenai ‘sejarah korupsi’ mereka.

Zein namun dengan tegas berkata, sekurang-kurangnya pemimpin yang berkenaan mengambil tanggungjawab berbanding pemimpin pembangkang yang masih enggan melepaskan jawatan meskipun diheret ke mahkamah bersabit isu rasuah.

“Tokoh yang didapati bersalah di Pulau Pinang, dihadapkan ke mahkamah, dalam proses rayuan, masih dianggap juara, tetapi Umno tidak. Datuk Seri Khir Toyo bila dibawa ke muka pengadilan, dia berehat dan lepaskan jawatan.

“Tan Sri Muhammad pula bila dibicarakan, dia tidak bersalah di Australia. Jangan nak tuding jari, rasuah wujud di merata sudut,” katanya lagi.

 

Kategori
Politik