Tak Berbaloi Bayar Syed Saddiq RM5 Juta, Kata UMNO

“Jika saya ada RM5 juta, saya akan beri duit itu kepada 100 budak lelaki untuk tanam kelulut. Baik belanjakan duit begitu daripada bagi kepada Syed Saddiq.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘tidak berbaloi’ untuk diberikan tawaran berjumlah RM5 juta untuk meninggalkan partinya, sebagaimana yang didakwa dua hari lalu.

Itu reaksi Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa apabila diajukan tuduhan Syed Saddiq berkenaan rangkaian dedak yang kononnya dilakukan oleh Umno.

“Adakah anda fikir dia (Syed Saddiq) berbaloi dengan RM5 juta?” kata Annuar pada majlis forum anjuran Umno di Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi.

“Jika saya ada RM5 juta, saya akan beri duit itu kepada 100 budak lelaki untuk tanam kelulut. Baik belanjakan duit begitu daripada bagi kepada Syed Saddiq.

“Terpulang padanya. Perjalanannya dalam politik masih jauh. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” kata Annuar.

Syed Saddiq dalam sidang media Isnin lalu mendakwa wujudnya rangkaian dedak yang sistematik sedang digunakan untuk mempengaruhi pemimpin kanan keluar meninggalkan parti.

Beliau juga mendedahkan bahawa tiga pengasas PPBM yang telah keluar parti sebelum ini iaitu Kamarulazman Habibur Rahman, Anina Saaduddin dan Datuk Hamidah Osman adalah individu yang didakwa turut menerima habuan berkenaan.

Syed Saddiq mendakwa beliau ditawarkan RM5 juta untuk mengadakan sidang media mengumumkan beliau akan meninggalkan negara dan memburukkan parti dan pimpinannya.

Beliau mendakwa wang itu ditawarkan dengan syarat beliau menyerang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menter besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir – dengan mendakwa perjuangan pemimpin-pemimpin tersebut hanya bersifat peribadi.

Annuar ketika mengulas hal itu lagi berkata tindakan Syed Saddiq itu sekadar gimik politik untuk meraih simpati.

“Mudahnya, dia budak kurang perhatian. Ramai lagi yang tolak sambung belajar, seperti anak saya, tapi mereka tak buat sidang media.

“Dia buat untuk dapat perhatian. Dia suka tengok anda semua (media) beri dia publisiti. Okay saja. Dia masih muda dan perlu belajar politik,” ujarnya.

Syed Saddiq pada semalam memberitahu akan melaporkan perkara itu kepada pihak polis, selepas mengumumkan akan membawa hal ganjaran RM5 juta itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan wujud ancaman terhadap keluarganya.

 

Kategori
Politik