Pesta Arak: Azmin Perlu Tegas Nyata Pendirian, Desak Umno

Umno Selangor menempelak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana tidak tegas berhubung penganjuran pesta arak Centro Mall German Food & Beverages Festival, yang mendapat bantahan orang ramai khususnya masyarakat Islam di negeri ini.

Umno Selangor menempelak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana tidak tegas berhubung penganjuran pesta arak Centro Mall German Food & Beverages Festival, yang mendapat bantahan orang ramai khususnya masyarakat Islam di negeri ini.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, Azmin sepatutnya lebih dahulu ke depan mempertahankan tindakan majoriti pihak yang membantah penganjuran pesta itu.

Sikap tidak tegas tersebut, kata Zein, hanya menunjukkan Azmin seolah-olah tunduk kepada DAP.

“Bila isyarat diberikan Datuk Teng (Chang Khim) iaitu jika Wilayah (Persekutuan) tidak izinkan, kita mahu buat di Selangor. Dia (Teng dah buat keputusan awal, sebelum Azmin lagi. Azmin mengangguk saja.

“Ingat zaman Datuk Hasan Ali? Mengenai penjualan arak secara bebas oleh kedai 24 jam. Pada peringkat akhirnya, dia ditendang keluar daripada exco,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Umno Selangor, di sini hari ini.

Azmin cuba lepaskan diri

Azmin semalam dalam kenyataannya kepada media berkata Centro Mall German Food & Beverages Festival, yang dijadualkan berlangsung di Klang pada 12 dan 13 Oktober ini boleh diteruskan sekiranya menepati syarat yang ditetapkan.

Menurut Azmin, penganjuran festival itu yang sebelum ini dikenali sebagai Oktoberfest dan melibatkan penjualan arak tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri namun perlu memenuhi syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas bersabit kenyataan itu, Zein menyifatkan Azmin cuba ‘bermain politik’ dan mahu melepaskan diri.

“Tak logik, sebagai ketua kerajaan, tapi serahkan bulat-bulat kepada MPK (Majlis Perbandaran Klang) untuk buat keputusan. Anda ketua kerajaan, PBT melapor kepada siapa. Jangan main politik.

“Bila serah kepada MPK, MPK akan serah kepada ahli majlis. Ahli Majlis berapa saja majoriti di sana. Lepas itu ditambah syarat konon terima permohonan tapi belum lulus, subjek kepada syarat-syarat itu dipenuhi. Bukankah itu main politik,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pendirian dan tindakan Umno Selangor bersabit penganjuran pesta arak itu, tegas Zein, pihaknya menyuarakan bantahan sejak dari awal lagi

“Kenyataan demi kenyataan itu juga merupakan protes. Daripada pengerusi perhubungan dan daripada saya. Tindakan (akan dilakukan) bila ia terjadi. Sekarang ini NGO ada. Di tempat saya ada, 14 Oktober ini, di Masjid Kota Damansara. Ini bukan isu kecil, saya ingatkan DAP berhati-hati bila main soal sensitiviti, soal agama, sila hati-hati,” ujarnya.

Ketika ditanya tindakan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang memecahkan lebih 100 tin bir di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pagi tadi, menurut Zein, ia bukan mewakili Umno Selangor sebaliknya atas nama NGO.

“Kebetulan batang tubuh dia salah seorang anggota perhubungan. Jadi jangan silap nampak,” katanya lagi.

Kategori
Politik