Perbahasan DUN Selangor tegang

Sepatutnya Sungai Pinang (Teng) biarkan saya habiskan ayat dahulu, jangan terus potong apa saya nak cakap, tiada adab dan tiada tatasusila

SHAH ALAM: Sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini tegang apabila seorang Exco kerajaan negeri mengeluarkan perkataan kurang menyenangkan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan negeri, Datuk Teng Chang Khim melemparkan perkataan ‘bodoh’ buat kali kedua kepada ADUN BN selepas melakukan perkara yang sama pada persidangan DUN November tahun lalu, selepas berang dengan perbahasan berkaitan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Kekecohan bermula apabila Teng (DAP-Sungai Pinang) mencelah sesi perbahasan Datuk Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) dengan menyatakan isu yang dibangkitkan wakil rakyat itu tidak berkaitan dengan Usul Pembangunan Bajet Selangor 2018.

Halimaton Saadiah kemudiannya mempertahan isu yang dikemukakannya iaitu mengenai peruntukan untuk melupus kereta rosak di pangsapuri di Selangor sehingga mengehadkan lot meletak kenderaan dengan mengatakan ia juga termasuk dalam perbelanjaan pembangunan.

“Sepatutnya Sungai Pinang (Teng) biarkan saya habiskan ayat dahulu, jangan terus potong apa saya nak cakap, tiada adab dan tiada tatasusila,” katanya.

Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kemudiannya bangun dan mempersoalkan tindakan Teng kerana tidak menghormati sesi perbahasan ADUN Kota Damansara itu.

Teng yang masih tidak berpuas hati bingkas bangun dan mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ dan mencetuskan kemarahan ADUN BN yang serentak bangun untuk menggesanya menarik balik perkataan berkenaan dan mempertikai sikap serta kredibilitinya sebagai Exco kerajaan negeri.

Situasi tegang itu menyebabkan Speaker DUN, Hannah Yeoh Tseow Suan terpaksa meredakan keadaan dan meminta semua pihak bertenang.

Sulaiman sekali lagi bangun dan meminta Teng menarik balik perkataan berkenaan selaras dengan Peraturan 36(6) Peraturan Tetap DUN yang menyebut seorang anggota dewan tidak boleh mengeluarkan kenyataan tidak elok kepada anggota dewan lain.

Bagaimanapun, Teng enggan menarik balik perkataan tersebut dengan menyatakan ia tidak dituju kepada sesiapa.

Datuk Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) kemudiannya bangun dan dengan sinis menyatakan sekiranya perkataan ‘bodoh’ itu boleh dilontarkan, semua pihak boleh menggunakannya di dalam DUN berkenaan.

Pertikaman lidah yang semakin tegang itu menyebabkan Yeoh segera menangguh persidangan dan bersambung pada sesi petang.

— BERNAMA

Kategori
BeritaPolitik