PAU2017: DAP balas susu yang kita hulur dengan tuba – Najib

Sudahlah tidak menyokong Bajet 2018, ditolak pula bantuan Bajet yang nak dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan mereka yang merayu dan meminta

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar DAP kerana tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membantu Kerajaan Pulau Pinang ketika negeri tersebut dilanda banjir pada bulan lepas.

“Ketika banjir besar di Pulau Pinang Ketua Menteri Lim Guan Eng merayu sehingga hampir menangis ketika menelefon timbalan perdana menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk memohon bantuan seraya menyebut Selamatkan Pulau Pinang…Selamatkan Pulau Pinang.

“Sudahlah tidak menyokong Bajet 2018, ditolak pula bantuan Bajet yang nak dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan mereka yang merayu dan meminta.

“Selepas itu, apabila saya dan timbalan perdana menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) turun ke Pulau Pinang, dituduhnya Kerajaan Persekutuan tidak memberi bantuan semasa banjir.

“Inilah manifestasi perangai buruk DAP. Sepertimana disebut pepatah Melayu lama, susu yang kita hulurkan, tuba jadi balasan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Kategori
Politik