PAS Tidak Tergugat Jika Tiga Wakil Rakyat di Kedah Keluar Parti

"Sebagaimana yang kita ketahui Datuk Mahfuz tu sejak daripada pemilihan 2015 telah pun menyerang PAS. Jadi kalaulah dia keluar bersama dengan PH, tidak akan memberi kesan kepada PAS seperti mana sebelum dia masuk (dilihat mesra PH) sudah melakukan serangan.

PAS tidak akan tergugat sekiranya benar tiga wakil rakyatnya di Kedah keluar meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Harapan (PH). 

Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata demikian mengulas desas-desus mengenai Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar; ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa yang mahu keluar parti.

Beliau menegaskan, umum mengetahui tindak-tanduk Mahfuz yang sering melontar kritikan dan pandangan berbeza dengan PAS, jadi katanya tidak hairanlah bekas naib presiden itu berbuat demikian.

“Sebagaimana yang kita ketahui Datuk Mahfuz tu sejak daripada pemilihan 2015 telah pun menyerang PAS. Jadi kalaulah dia keluar bersama dengan PH, tidak akan memberi kesan kepada PAS seperti mana sebelum dia masuk (dilihat mesra PH) sudah melakukan serangan. 

“Sedangkan serangan daripada dalam tu lebih pahit untuk diterima, jadi kalau dia keluar pun tak beri kesan,” katanya.

Isu ini timbul selepas ada media melaporkan, ketiga-tiga wakil rakyat itu sering dilihat hadir dalam beberapa siri program dan ceramah anjuran PH. 

PAS sebelum itu menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015, ekoran parti yang didominasi orang Cina itu sering mengkritik agenda politik berteraskan Islam yang dibawanya.

Tidak cukup dengan itu, PAS turut memutuskan hubungannya dengan PKR kerana mendakwa parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu kerap kali melanggar syarat antara kedua-dua parti.

Antaranya, PAS mendakwa PKR menjalin kerjasama dengan DAP dan Amanah sehingga terbentuknya PH.

Ketika ditanya mengenai kedudukan PAS di Kedah sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat ini keluar parti, Che Abdullah menjawab PAS akan menjadi lebih kuat selepas ‘duri dalam daging’ ini dikeluarkan.

“Saya rasa kalau keluar duri-duri dalam daging ini akan menambah kuatkan lagi kedudukan PAS,” katanya. 

Kategori
Politik