Kuasa Pemutus Soal Calon Bukan Di Tangan Azmin

"Adapun pemilihan calon itu yang terakhir. Bukan dikendalikan oleh beliau seorang, tiap-tiap parti. Tiap-tiap parti, kita ada empat parti sekarang. Selepas rundingan kerusi diselesaikan tiap parti akan calonkan. Amanah calon Amanah, DAP calon DAP, PPBM dan akhirnya Keadilan (PKR).

Kuasa pemutus bersabit soal penentuan calon yang layak bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 9PRU14) akan datang bukan di tangan Datuk Seri Azmin Ali.

Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul menegaskan, Azmin yang baru dilantik sebagai pengarah pilihan raya bagi gabungan itu sebaliknya berperanan dalam hal-hal berkaitan kempen, jentera dan persiapan PH bagi menghadapi pilihan raya yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Johari menambah, penentuan calon hanya akan dimuktamadkan atas persetujuan keempat-empat parti dalam gabungan itu, bukannya atas keputusan Timbalan Presiden PKR itu semata-mata.

“Adapun pemilihan calon itu yang terakhir. Bukan dikendalikan oleh beliau seorang, tiap-tiap parti. Tiap-tiap parti, kita ada empat parti sekarang. Selepas rundingan kerusi diselesaikan tiap parti akan calonkan. Amanah calon Amanah, DAP calon DAP, PPBM dan akhirnya Keadilan (PKR).

“Proses untuk calon itu pula mesti di bawah. Dia bermula dengan cabang, cabang ke negeri. Negeri ke pusat. Pusat ini maksudnya jawatankuasa, ada satu jawatankuasa yang memilih lepas itu dia masuk biro politik. Dari biro politik baru lah dia tentukan kemudian baru diumumkan nama. Baru lah naik ke PH. Proses dia panjang bukan Azmin sorang.

“Bukan tertakluk kepada dia. Itu sebahagian. Maknanya mungkin 10 peratus dari tugas dia itu ialah untuk pastikan nama-nama ini tersedia. Tetapi bukan dia yang putuskan. Parti yang putuskan. Dia pun tidak ada kuasa sebab yang putuskannya ialah parti setelah rundingan kerusi ini selesai lah,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Semalam Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan, Azmin dilantik sebagai pengarah pilihan raya gabungan bagi mengukuhkan jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Dalam pada itu mengulas lebih lanjut, Johari turut berharap supaya penyokong akar umbi terus giat menggerakkan jentera gabungan itu di peringkat bawahan dan tidak menfokuskan soal nama calon bertanding.

“Jadi saya minta akar umbi di bawah buat kerja masing-masing. Rundingan kerusi sedang berjalan, ada yang selesai. Jadi yang pentingnya kita buat kerja masing-masing. Ada pun nama calon ini akhir hujung baru nama calon naik,” katanya lagi.

Terdahulu, pelantikan Azmin sebagai pengarah pilihan raya PH mengundang kritikan sebahagian penyokong PKR.

Mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan gabungan itu mempersoalkan kemungkinan jawatan itu disalahguna Azmin yang didakwa mempunyai kuasa ‘veto’ dalam menentukan calon.

Ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi gabungan itu, ujar Johari, proses agihan berjalan lancar dan hampir selesai.

“Ada negeri yang hampir siap, ada negeri yang sedang berjalan. Kebanyakanya hampir (siap) pasal dia ada empat parti kan. Ada yang sesuai dengan satu parti sudah selesai. Ada yang selesai dengan parti ini. Ada selesai, dua lagi belum. Jadi begitulah.

 

“Kemudian di peringkat Parlimen, di peringkat DUN. Proses dia panjang,” tambahnya.

 

 

 

Kategori
Politik