Ketua Penerangan Pkr Kelantan Dipecat Kerana Menyalahi Peraturan Berorganisasi

Keputusan untuk memecat Ketua Penerangan PKR Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman dilakukan kerana pemimpin itu menyalahi peraturan berorganisasi, iaitu membuat kenyataan peribadi atas nama parti.

Keputusan untuk memecat Ketua Penerangan PKR Kelantan, Mohammad Azihan Che Seman dilakukan kerana pemimpin itu menyalahi peraturan berorganisasi, iaitu membuat kenyataan peribadi atas nama parti.

Tegas Pengerusi PKR Kelantan, Abd Aziz Abd Kadir, keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan dilakukan antara pimpinan parti peringkat negeri.

“Ya, sebab dia buat kenyataan bukan atas kapasiti peribadi tetapi atas nama Ketua Penerangan PKR Kelantan. Kenyataannya itu seratus peratus silap.

“Setelah kami bincang dikalangan pimpinan kanan di Kelantan, kami ambil persetujuan merehatkan dia,” katanya.

Ditanya sama ada istilah ‘merehatkan’ memberi maksud ‘memecat’, Abd Aziz mengesahkannya sambil menambah, tindakan Azihan merupakan satu kesalahan besar.

Azihan pada 6 Ogos lalu dalam satu kenyataan memberitahu bahawa Majlis Pimpinan PKR Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan 5 Jun lalu dan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR Pusat.

Kata Azihan, keputusan untuk wakil PKR meletak jawatan dalam kerajaan Kelantan dipersetujui bagi dilaksanakan pada 31 Julai 2017.

Azihan juga menyenaraikan enam pemimpin PKR Kelantan yang disenaraikan sebagai ahli majlis daerah tetapi belum mengangkat sumpah, membuat keputusan untuk tidak berbuat demikian.

Susulan itu, Abd Aziz kemudian tampil menyangkal kenyataan Azihan, sambil menegaskan bahawa PKR Kelantan masih belum ada kepastian mengenai peletakan jawatan bagi lantikan politik dalam kerajaan pimpinan PAS itu.

Abd Aziz juga dalam reaksinya beberapa hari lalu berkata, kenyataan Azihan tidak melalui perbincangan dengan pimpinan peringkat negeri.

Dalam pada itu ditanya bila pemecatan Azihan berkuatkuasa, jawab Abd Aziz, ia adalah sehari selepas pemimpin berkenaan mengeluarkan kenyataannya.

Abd Aziz juga berkata, hubungannya dengan Azihan masih baik seperti biasa dan pemimpin itu sendiri mengakui kesilapannya.

Keputusan memecat Azihan juga akan dimaklumkan segera kepada pimpinan pusat, tambah Abd Aziz.

Sementara itu Abd Aziz menyangkal kenyataan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang menyifatkan dirinya kartel Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali ekoran memecat Azihan.

“Chegubard ini saya tak berapa masuk sangat (apa yang dia kata) dalam kepala saya. Saya tak tahu arah mana dia ni, dia saja betul, orang lain tak betul,” katanya.

Kategori
Politik