BN Hanya Boleh Menang PRU14 Dengan Sokongan Parti Komponen

Hanya dengan kerjasama ini sahaja kita mampu bergerak ke hadapan dan kemudian merancang untuk bagaimana kita boleh bantu rakyat

SEGAMAT: Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila setiap parti komponen memberi sokongan, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Justeru itu beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata adalah penting bagi setiap parti komponen BN untuk mengukuhkan kerjasama antara mereka bagi memastikan usaha membela rakyat dapat diselaraskan dan memberi kesan yang maksimum.

Memberi contoh di kawasan Parlimen Segamat yang beliau wakili, beliau berkata MIC memperoleh sokongan tidak berbelah bahagi daripada parti komponen seperti Umno dan MCA dalam usaha beliau memajukan kawasan itu, malah semua wakil parti komponen mampu duduk semeja membincangkan apa yang terbaik untuk rakyat.

“Perpaduan antara parti komponen (BN) di Segamat amat tinggi di mana tiada permainan politik antara kita, tiada kerja untuk rampas kerusi daripada parti komponen lain, hanya usaha kita membantu rakyat sahaja.

“Hanya dengan kerjasama ini sahaja kita mampu bergerak ke hadapan dan kemudian merancang untuk bagaimana kita boleh bantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Segamat di Taman Yayasan di sini malam tadi.

Dr Subramniam berkata beliau bersama parti komponen di kawasan Parlimen itu kini sedang merancang untuk membangunkan tahap sosioekonomi rakyat.

“Lebuh raya pintas antara Segamat ke Tangkak kita sudah dapat, infrastruktur mencegah banjir juga telah kita dapat, maka sekarang apa yang perlu kita dapatkan ialah bagaimana mahu bangunkan sosioekonomi.

“Bagaimana kita mahu penduduk Segamat tidak kira apa kaum sekalipun terutama generasi muda dapat peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan tarik lebih banyak pelaburan supaya rakyat di Segamat boleh dapat limpahan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata semua usaha membangunkan rakyat tidak akan menjadi kenyataan sekiranya perpaduan masyarakat berbilang kaum di Segamat dan negara ini dalam keadaan rapuh.

Menarik perhatian beliau memberikan contoh bagi menjayakan rumah terbuka itu terdapat 80 hidangan yang disediakan 80 keluarga berbilang kaum di Taman Yayasan itu.

“Setiap keluarga sediakan satu hidangan, jadi malam ini kita semua dapat nikmati banyak hidangan lazat disediakan, jadi bila ada perpaduan ini buat kerja sama-sama ini akhirnya kita semua dapat nikmat bersama ini maksud yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu fahami,” katanya.

Kategori
Politik