Bantah Pesta Arak: Jamal pecahkan botol bir depan SUK

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mencipta satu lagi gimiknya apabila bertindak memecahkan lebih 100 tin bir di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mencipta satu lagi gimiknya apabila bertindak memecahkan lebih 100 tin bir di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Tindakan itu dilakukan sebagai simbolik kepada bantahan penganjuran pesta minuman keras di Selangor.

Beliau sebelum itu hadir bersama kira-kira 20 orang penyokongnya sambil membawa beberapa kotak minuman keras dan tukul besi pada kira-kira jam 10.15 pagi.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar turut memberikan amaran kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak mengambil mudah terhadap penganjuran pesta itu selain melarangnya diadakan di Selangor.

Kontroversi tercetus selepas timbul ura-ura penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 akan dipindahkan ke Selangor selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjurannya yang dirancang diadakan pada 6 dan 7 Oktober di Publika Shopping Gallery, atas faktor ia mengundang ancaman gerakan ekstremis.

Selain itu, penganjuran pesta Centro Mall German Food & Beverages Festival, acara yang dijadualkan berlangsung   pada 12 dan 13 Oktober ini di Klang, turut mendapat bantahan sungguhpun pernah dianjurkan untuk beberapa tahun sebelum ini.

Azmin semalam dalam kenyataannya kepada media berkata Centro Mall German Food & Beverages Festival boleh diteruskan sekiranya menepati syarat yang ditetapkan.

Kelmarin Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilapor memaklumkan tiada permit dikeluarkan kepada pihak penganjur setelah Centro Properties Group kerana syarikat itu gagal memenuhi syarat-syarat MPK.

Antara syarat itu adalah mendapatkan kelulusan polis bagi memastikan festival sedemikian bebas daripada sebarang risiko keselamatan.

 

Kategori
Politik