Zon selamat di Myanmar: Malaysia perlu main peranan

Azril berkata pada 8 Sept lepas, kerajaan Bangladesh telah mengambil inisiatif diplomatik dengan mencadangkan suatu kawasan di Myanmar diisytiharkan 'zon selamat antarabangsa' di bawah penyeliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menyambut baik usaha mewujudkan ‘zon selamat antarabangsa’ di Myanmar dan menggunakan saluran diplomatik untuk meyakinkan negara lain menyokong cadangan tersebut.

Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia Azril Mohd Amin berkata usaha Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan akan lebih bermakna sekiranya zon selamat berkenaan dapat diwujudkan dengan segera.

“Mekanisme ini menjamin penyaluran bantuan dengan lebih sempurna, mencapai sasaran penduduk yang menjadi mangsa serta menyediakan platform strategik untuk penyelesaian jangka panjang krisis kemanusiaan penduduk Muslim Rohingya yang telah berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azril berkata pada 8 Sept lepas, kerajaan Bangladesh telah mengambil inisiatif diplomatik dengan mencadangkan suatu kawasan di Myanmar diisytiharkan ‘zon selamat antarabangsa’ di bawah penyeliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kawasan ini adalah untuk memastikan keselamatan, keamanan, makanan dan perlindungan bagi Rohingya yang kehilangan tempat tinggal dan ditindas serta menghentikan kemasukan mereka ke Bangladesh,” katanya.

Katanya, kerajaan Bangladesh telah meminta PBB, Jerman, India dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) untuk mengambil inisiatif menubuhkan zon selamat itu seperti yang ditubuhkan sebelum ini di negara lain yang menghadapi situasi konflik.

Keganasan di Rakhine baru-baru ini mengakibatkan kematian ramai penduduk Rohingya dan mencetuskan penghijrahan lebih 270,000 rakyat Myanmar ke Bangladesh dalam tempoh dua minggu lalu.

Namun, Azril berkata pewujudan zon selamat seumpama itu masih memerlukan persetujuan daripada Myanmar.

“Dalam keadaan negara tersebut terlalu berdegil untuk mematuhi sebarang undang-undang antarabangsa berkenaan perlindungan nyawa penduduk awam, agak sukar sekiranya Bangladesh dibiarkan bersendirian bagi memastikan cadangan pewujudan zon selamat itu dilaksanakan,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak boleh terus membiarkan penduduk Muslim Rohingya menderita sebagai mangsa kekejaman dan menjadi pelarian ke negara lain.

— BERNAMA

Kategori
BeritaDuniaNasional