Tukang masak Malaysia maut ditembak di selatan Thailand

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tak Bai untuk proses bedah siasat sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh keluarganya

TUMPAT: Seorang tukang masak warga Malaysia maut dipercayai akibat terkena peluru sesat yang dilepaskan empat lelaki bersenjata di pusat pemeriksaan di Kampung Cek He, Tak Bai malam tadi.

Menurut Ketua Polis Tak Bai, Kol Phacharapon Na Nakorn, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam (waktu tempatan) itu, mangsa yang dikenali sebagai Wan Mohd Zain W. Hussain, 46, dari Kampung Ketil, Tumpat maut di tempat kejadian.

Katanya, ketika mangsa sedang menaiki motosikal dan melalui pusat pemeriksaan keselamatan, empat lelaki bersenjata yang menaiki sebuah trak pikap melepaskan tembakan ke atas anggota polis yang sedang berkawal di situ.

Tambahnya, sebutir bom turut meletup tidak jauh daripada lokasi kejadian ketika anggota keselamatan Thai tiba untuk memberi bantuan kepada rakan-rakan mereka yang diserang.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tak Bai untuk proses bedah siasat sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh keluarganya.

Kategori
BeritaNasional