Tiada negara Arab tekan Malaysia putuskan hubungan dengan Qatar

"Atas dasar berkecuali itu kita bukan hanya mampu menepis sebarang kesan negatif malah hubungan yang dijalankan daripada sudut perdagangan dengan negara Arab, termasuk Qatar tetap berjalan baik.

IPOH: Tiada mana-mana negara Asia Barat yang terlibat dalam konflik di rantau itu termasuk Arab Saudi membuat tekanan terhadap Malaysia supaya memutuskan hubungan dengan Qatar.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, keadaan itu mungkin disebabkan tindakan Malaysia yang mengamalkan dasar tidak mencampuri urusan negara lain.

“Atas dasar berkecuali itu kita bukan hanya mampu menepis sebarang kesan negatif malah hubungan yang dijalankan daripada sudut perdagangan dengan negara Arab, termasuk Qatar tetap berjalan baik.

“Bagi Malaysia, kita hanya mahu menjadi negara perdagangan terbaik tanpa mencampuri sebarang konflik politik mana-mana negara yang berhubungan dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan MCA Bahagian Gopeng di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lalu, lima negara iaitu Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Yaman mengumumkan keputusan memutuskan hubungan dengan Qatar atas alasan negara itu menyokong keganasan selain bersekongkol dengan Iran.

Tambah Ong, wakil sebuah syarikat pengeluar barangan elektrik yang berpangkalan di Doha, Qatar iaitu Al Amer Group dijadual melakukan lawatan ke negara ini pada Oktober depan.

“Namun, dengan apa yang berlaku kita tidak pasti sama ada syarikat gergasi itu akan meneruskan cadangan mereka untuk ke Malaysia atau sebaliknya,” katanya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaDuniaNasional