Tawaran menarik di karnival perumahan KPMM-MAPEX hujung minggu ini

Rumah mampu milik yang berharga di bawah RM500,000 akan menjadi tumpuan karnival ini.

KUALA LUMPUR: Buat julung-julung kalinya, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan Karnival Perumahan Mampu Milik (KPMM) – Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX).

Berlangsung dari 11 hingga 13 Ogos di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), karnival ini merupakan inisiatif kerajaan dan REHDA dalam usaha untuk membantu rakyat dalam pemilikan rumah di samping memberi peluang kepada orang ramai meninjau pilihan pemilikan rumah yang terdapat di pasaran kini.

Rumah mampu milik yang berharga di bawah RM500,000 akan menjadi tumpuan karnival ini.

“Ekspo hartanah dan perumahan anjuran REHDA sebelum ini kebanyakannya hanya mempamerkan rumah yang dibina oleh pemaju swasta tetapi melalui jalinan kerjasama strategik di mana kerajaan-kerajaan negeri turut mengambil bahagian, lebih banyak rumah mampu milik terutamanya di bawah kelolaan kerajaan dapat dikumpul di bawah satu bumbung dan ditawarkan kepada pembeli,” ujar Datuk Ng Seing Liong, Pengerusi Jawatankuasa MAPEX 2017.

Rumah mampu milik yang akan dipamerkan bukan sahaja tertumpu di kawasan Lembah Klang, malah juga di beberapa negeri lain seperti Melaka, Kedah, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Selain itu, KPMM-MAPEX turut menawarkan hartanah di pasaran terbuka dengan diskaun menarik oleh pemaju seperti diskaun Bumiputera dan rebat pembelian.

“REHDA yakin dengan sokongan jitu dari kerajaan, agensi-agensi dan para pemaju swasta serta orang ramai, KPMM-MAPEX akan dapat mencapai objektifnya untuk menyediakan platform yang tepat kepada bakal pembeli yang sedang mencari rumah impian mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, lebih daripada 5,000 hartanah pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan mencecah RM5 bilion bakal ditawarkan di karnival tersebut.

Karnival ini akan disertai oleh Maybank Berhad dan Bank Simpanan Nasional bagi membantu pembeli mendapatkan maklumat pinjaman.

“Saya berharap lebih banyak institusi kewangan akan menyertai ekspo hartanah seperti ini bagi memudahkan bakal pembeli membuat perbandingan produk-produk pinjaman perumahan yang sesuai dengan kemampuan mereka,” kata Ng lagi.

Lebih 40 pemaju akan menyertai karnival kali ini, antaranya ialah Glomac Berhad, IJM Land Berhad, Kota Kelang Development Sdn Bhd dan Bandar Setia Alam Sdn Bhd.

Agensi-agensi kerajaan di bawah Jabatan Perumahan Negara juga akan hadir seperti Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) yang menawarkan ‘Rumah Selangorku’ dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang akan mempromosikan ‘RUMAWIP’.

Karnival yang bakal berlangsung selama 3 hari ini akan dirasmikan oleh Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar, Jumaat ini.

Pelbagai kegiatan dan hadiah menarik menanti para pengunjung seisi keluarga seperti peraduan mewarna untuk kanak-kanak, Giant Board Games, Sand Art, Henna Art dan Food Truck.

Orang ramai turut berpeluang mendapat rebat tunai berjumlah RM50,000.

Selain itu, pakar hartanah dan kewangan seperti Dr Azizul Azli Ahmad, En Ahyat Ishak dan En Aziz Ahmad akan turut hadir untuk memberi tips hartanah menarik kepada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman www.mapex.com.my/kpmm-mapex2017, hubungi talian 03-7880 8000 atau e-mail di secretariat@rehda.com.

Ikuti juga Facebook dan Instagram KPMM-MAPEX untuk maklumat terkini.

Kategori
BeritaEkonomiNasional