SPRM Tahan Exco DAP Pulau Pinang

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 2.45 petang tadi ketika memberi keterangan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Exco DAP Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung operasi sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di sini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 2.45 petang tadi ketika memberi keterangan.

Beliau dijangka direman di Mahkamah Sesyen di sini pagi esok.

Dalam pada itu, peguamnya, R.S.N Rayer berkata, pihaknya ketika ini masih tidak mendapat maklumat jelas berhubung penahanan Boon Poh serta tuduhan yang dikenakan kepada ADUN Sungai Puyu berkenaan.

Terdahulu SPRM melakukan serbuan pejabat Boon Poh di Komtar pada pagi tadi.

Serbuan terbaru itu dipercayai susulan kepada siasatan SPRM ke atas sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu.

Khamis lalu, pegawai SPRM turut merampas dokumen berkaitan kilang Kampung Sungai Lembu dari Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

SPRM dan beberapa agensi penguatkuasa turut menyerbu kilang itu pada hari Khamis, berikutan aduan dari penduduk kampung yang menyuarakan kebimbangan ekoran asap dari kilang itu boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Kilang itu, yang memproses penapis karbon, telah beroperasi di tanah pertanian di dalam ladang kelapa sawit selama lebih dari 10 tahun.

Operasi terhadap kilang haram itu juga melibatkan pegawai dari Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Kategori
Nasional