SPRM Hanya Siasat Zahid Jika Ada Asas

“Orang boleh kaya tetapi sumber itu yang penting. Kalau sumbernya dari rasuah dan salah guna kuasa barulah ia menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan membuka kertas siasatan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memiliki wang sebanyak RM230 juta, sekiranya ia mempunyai asas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan, tidak semua individu yang memiliki harta yang banyak perlu disiasat oleh suruhanjaya itu.

“Isunya, adakah harta itu diperoleh daripada rasuah atau salah guna kuasa? Ia perlu ada asasnya. Kalau asasnya ada, kita siasat dan kalau asasnya tiada, bagaimana kita hendak siasat?

“Orang boleh kaya tetapi sumber itu yang penting. Kalau sumbernya dari rasuah dan salah guna kuasa barulah ia menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat.

“Kalau setakat mengatakan hartanya RM230 juta tetapi orang yang mengatakan sedemikian pun tiada bukti,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan kepimpinan Gagasan Sejahtera (Gagasan) di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini membangkitkan isu pengisytiharan harta dibuat Ahmad Zahid semasa dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO termasuk memiliki RM230 juta dalam akaun banknya.

Ahmad Zahid kemudiannya menegaskan beliau bersedia untuk disiasat SPRM berhubung tuduhan bekas Perdana Menteri itu demi memperbetulkan apa yang disifatkannya sebagai satu pembohongan besar.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kekayaan yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu termasuk anak-anaknya juga perlu disiasat SPRM.

Kategori
Nasional