Seleweng dana KKLW: Menantu lelaki ditahan SPRM

Lelaki ini ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana KKLW
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di pejabat SPRM pada pukul 5.15 petang ini.

Menurut sumber SPRM, lelaki itu merupakan menantu kepada individu yang ditahan pada Selasa lalu selepas membuat pemeriksaan di rumahnya di Putatan, Sabah.

“Lelaki ini ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana KKLW,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini malam ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan mengenai penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Pada pukul 9.30 malam Selasa lalu, SPRM menahan bapa lelaki terbabit di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

Penahanan suspek menjadikan lapan individu telah ditahan SPRM berhubung siasatan kes penyelewengan dana KKLW di Sabah.

Dua daripada mereka iaitu seorang pemimpin kanan parti pembangkang dan seorang kontraktor telah dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam dan hari ini.

Kategori
BeritaBorneoNasional