Saya tidak akan gadai kedaulatan negara – PM Najib

Beliau sekaligus menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau menjual kedaulatan negara kepada China menerusi pelaksanaan projek-projek mega.

KUALA LUMPUR: Kedaulatan negara tidak dikompromi walau sedikitpun lantaran hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan China.

Itu tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan beliau tidak pernah dan tidak akan menggadaikan kedaulatan Malaysia kepada negara luar.

Jelas beliau, hasil transformasi yang begitu memberangsangkan pada masa kini merupakan hasil hubungan baik antara Malaysia dan China.

“Sesetengah orang ada yang fikir lebih elok memiliki syarikat 100 peratus Malaysia yang mengalami kerugian berbanding membuka peratus pemilikan kepada syarikat yang berpeluang untuk mendapatkan pasaran yang lebih luas, skala ekonomi dan teknologi terkini.

“Saya bertanya kepada anda, yang mana satu akan mewujudkan lebih banyak kekayaan dan pekerjaan untuk rakyat Malaysia? Jawapannya adalah jelas,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian China Construction Bank (Malaysia) di sini hari ini.

Beliau sekaligus menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau menjual kedaulatan negara kepada China menerusi pelaksanaan projek-projek mega.

“Kepada mereka yang mengkritik ‘melampau, terlalu cepat dan segera’, saya cuma ingin katakan: kalau kamu mahu melambatkan pembangunan Malaysia, jika kamu mahu Malaysia jauh ketinggalan dan jika kamu mahu tiada peluang kerja diwujudkan atau pendapatan ditingkatkan, jadi kamu boleh pergi dan kempen dengan platform kamu,” katanya.

Kategori
BeritaEkonomiNasional