Rohingya: NGO pelbagai negara gesa tindakan segera terhadap Myanmar

Jika Myanmar tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa kita mengesyorkan agar ASEAN mengambil tindakan menggantung keanggotaannya dalam organisasi itu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 badan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara hari ini sepakat menuntut agar tindakan tegas segera diambil terhadap Myanmar berhubung isu Rohingya termasuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara itu.

Pada Mesyuarat Strategi NGO Serantau 2017 Berhubung Isu Rohingya di sini, NGO-NGO berkenaan turut mahukan semua negara anggota ASEAN mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar yang dilihat berterusan melakukan kekejaman terhadap etnik Rohingya.

Pengerusi Bersama mesyuarat itu Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata, isu Rohingya memerlukan penyelesaian politik dengan cara memberi tekanan ke atas Myanmar agar negara itu patuh kepada undang-undang antarabangsa.

“Jika Myanmar tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa kita mengesyorkan agar ASEAN mengambil tindakan menggantung keanggotaannya dalam organisasi itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Mesyuarat dua hari itu yang bermula semalam dianjurkan oleh MAPIM bersama Majlis Belia Malaysia serta Pusat Belia Antarabangsa dan disertai wakil-wakil NGO dari negara rantau ASEAN seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand selain negara Eropah seperti Perancis, dan Turki.

Mohd Azmi berkata, syarikat-syarikat asing yang beroperasi di Myanmar juga digesa mengkaji semula pelaburan mereka di negara itu.

“Kami juga menuntut agar ketua-ketua tentera Myanmar yang melakukan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” katanya.

Katanya, pada mesyuarat hari ini, semua NGO itu juga bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa tetap yang akan merangka pelan tindakan untuk menyelesaikan isu Rohingya secara menyeluruh.

Katanya, jawatankuasa itu yang akan dianggotai wakil-wakil NGO yang berasaskan agama dan kemanusiaan akan berkoordinasi untuk melobi pemimpin-pemimpin negara khususnya ASEAN untuk membantu menyelesaikan isu itu selain melakukan misi bantuan kemanusian serta kempen media.

“Pelan tindakan itu beserta syor-syor akan diserahkan kepada semua pemimpin ASEAN dan juga Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres agar mereka terus memberi tekanan terhadap Myanmar,” katanya.

— BERNAMA

Kategori
BeritaDuniaNasional