RCI Forex BNM tamat, panel teliti keterangan 25 saksi, 42 dokumen

RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka muncul. Sama ada ia berbeza daripada kesimpulan pertama, isu ia dikeluarkan tidak timbul. Kami akan membuat kesimpulan mukatamad apabila kami menyerahkan laporan (kepada Agong)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) tamat hari ini dengan 25 saksi dipanggil selain 42 dokumen diterima suruhanjaya tersebut.

Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberi masa kepada peguam pengendali dan peguam pemerhati untuk mengemukakan hujahan bertulis sepanjang prosiding itu berlangsung selewat-lewatnya 5 petang, Khamis.

Sementara itu, Mohd Sidek selepas berbincang, panel memutuskan untuk menolak permintaan peguam Dr Mahathir Mohamad untuk memanggil semula bekas penolong gabenor BNM, Abdul Murad Khalid memberi keterangan.

“RCI dapati ia telah melakukan semua yang perlu dengannya (Murad). RCI tidak bercadang memanggil semula Murad,” kata Sidek.

Sidek juga tidak akan menarik semula kenyataan awalnya pada penghujung hari pertama siasatan RCI pada 21 Ogos apabila beliau berkata kesimpulan dapat diambil yang BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.

“RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka muncul. Sama ada ia berbeza daripada kesimpulan pertama, isu ia dikeluarkan tidak timbul. Kami akan membuat kesimpulan mukatamad apabila kami menyerahkan laporan (kepada Agong),” katanya.

Antara saksi yang dipanggil sebelum ini termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dua bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri kewangan kedua serta penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Prosiding yang diadakan secara terbuka kepada orang ramai selama lapan hari itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Kategori
BeritaEkonomiNasional