Rakaman CCTV pembunuhan Jong Nam: Cukur janggut, misai kelirukan identiti

Polis melabelkan empat lelaki terbabit sebagai 'Hanamori', 'Mr Y', 'Mr Chang' dan 'James' yang kewarganegaraan mereka masih belum dapat dipastikan
SHAH ALAM: Empat suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam atau Kim Chol, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang masih bebas dilihat aktif berkomunikasi selama lebih satu jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum muka mangsa warga Korea Utara itu disapu dengan agen saraf VX.

Berdasarkan lebih 40 klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditayangkan ketika perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, empat individu masih bebas yang dituduh bersama itu turut menukar identiti mereka selepas kejadian itu berlaku.

Polis melabelkan empat lelaki terbabit sebagai ‘Hanamori’, ‘Mr Y’, ‘Mr Chang’ dan ‘James’ yang kewarganegaraan mereka masih belum dapat dipastikan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis Malaysia kini sedang bekerjasama dengan Interpol buru empat suspek yang telah meninggalkan negara pada hari kejadian. - Foto PDRM

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis Malaysia kini sedang bekerjasama dengan Interpol buru empat suspek yang telah meninggalkan negara pada hari kejadian. – Foto PDRM

Salah sebuah restoran di klia2 menjadi lokasi pertemuan empat individu tersebut, namun bukan secara serentak.

Malah, dua daripada mereka turut bertemu dengan dua tertuduh, warga Vietnam Doan Thi Huong, 28 dan warga Indonesia Siti Asyah, 25 yang didakwa membunuh Jong Nam.

Pegawai Penyiasat Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz memaklumkan mahkamah yang Hanamori dilihat sebagai perancang utama.

Dia yang memakai baju berwarna ungu dilihat menenemui Mr Y, Mr Chang dan James di klia2.

Polis sebelum ini mendedahkan tiga individu dalam foto ini bersama-sama meninggalkan negara pada hari pembunuhan Kim Jong Nam, 13 Februari lalu. - Foto PDRM

Polis sebelum ini mendedahkan tiga individu dalam foto ini bersama-sama meninggalkan negara pada hari pembunuhan Kim Jong Nam, 13 Februari lalu. – Foto PDRM

Rakaman CCTV dengan jelas menunjukkan Mr Y dan Mr Chang keluar dari sebuah kenderaan model Naza Ria berwarna hitam pada jam 7.28 pagi di aras 3 klia2.

Mr Y dilihat memakai kemeja kelabu, berseluar gelap, bertopi dan membawa beg galas hitam.

Sementara Mr Chang memakai kemeja-t berpenutup kepala (hoodie) sambil memegang beg plastik putih.

Mr Y kelihatan bertemu dan berjalan bersama Doan di balai berlepas aras 3.

Lebih kurang sejam sebelum serangan, Hanamori dilihat bertemu dengan James, lelaki di mana peguam bela mendakwa merekrut Siti, dan memperkenalkannya kepada Mr Chang.

Hanamori turut bertemu Mr Y dan Mr Chang secara berasingan di restoran itu lebih sejam sebelum serangan.

Pukul 8.18 pagi, Mr Chang bertemu Siti Aisyah di restoran, di mana Wan Azirul berkata Mr Chang menyerahkan tiket teksi kepada Siti yang dibeli sebelum itu di aras 1 klia2.

Mr Chang kelihatan mempunyai janggut dan misai apabila dirakam mukanya semasa membeli sebotol air mineral di restoran itu.

Tiga individu ini dipercayai suspek utama dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam seperti dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim - Foto PDRM

Tiga individu ini dipercayai suspek utama dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam seperti dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim – Foto PDRM

Jelas Wan Azirul, muka Jong Nam dilumur dengan senjata kimia itu pukul 9 pagi.

“Hanamori masih berada di kawasan itu sepertinya untuk memastikan ia berjalan mengikut perancangan,” kata Azirul ketika visual menunjukkan Hanamori berada di kawasan merokok di aras 3 pukul 9.04 pagi.

Mr Y dan Mr Chang kemudian kelihatan memasuki tandas dan keluar dengan kemeja T lain dan tanpa topi.

Mr Chang juga sudah tidak berjanggut dan misai ketika keluar dari tandas.

Mr Y keluar dari tandas di tingkat 2M pada 9:23 pagi dengan pakaian lain dan tanpa begnya dan pada 9:28 pagi, Mr Chang menuju ke tingkat 1 ke arah perhentian teksi, memakai baju lain dan tanpa beg plastik putih.

“Kami dapat mengenal pasti mereka daripada bentuk tubuh, dan cara mereka bergerak serta pakaian. Apa yang saya perasan tentang semua suspek ialah walaupun mereka tukar baju dan penampilan, mereka tidak tukar kasut,” kata Wan Azirul apabila ditanya bagaimana beliau membezakan suspek tersebut.

Beberapa hari selepas serangan itu, polis mendedahkan nama empat warga Korea Utara – Ri Ji Hyon, 33, Hong So Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57 sebagai suspek.

Mereka melarikan diri dari negara ini pada hari sama kematian Jong Nam.

Perbicaraan ditangguhkan 1.40 petang dan bersambung semula 6 November ini.

Kategori
BeritaDuniaNasional