Rafizi akui Bajet 2018 beri manfaat kepada rakyat

Mohd Rafizi berkata rakyat sebenarnya amat mengalu-alukan sebarang pengumuman kerajaan yang mampu memberi manfaat kepada mereka tanpa mengira parti politik yang memerintah

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli mengakui pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pulangan dan manfaat kepada rakyat.

Sambil berharap bajet itu memberi kesan lebih positif kepada negara, beliau turut meminta kerajaan memberi penekanan kepada penyelesaian jangka panjang terhadap permasalahan dihadapi rakyat sekarang seperti kenaikan harga barang, peluang pekerjaan dan isu pengambilan pekerja asing.

“Cuma pemberian (imbuhan Bajet 2018) itu perlu diseimbangkan dengan beberapa perkara iaitu perlu ada matlamat jangka panjang dengan mengambil langkah-langkah penting bagi menyelesaikan masalah rakyat sekarang,” katanya semasa menjadi tetamu program Bicara Bajet 2018 yang disiarkan selama sejam di RTM1 malam tadi.

Program dihoskan Datuk Dahlan Maamor itu turut menjemput Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang juga anggota Parlimen Muar bagi membincangkan intipati Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lepas.

Mohd Rafizi berkata rakyat sebenarnya amat mengalu-alukan sebarang pengumuman kerajaan yang mampu memberi manfaat kepada mereka tanpa mengira parti politik yang memerintah.

“Bagi saya mudah, sebaik-baiknya kalau apa-apa dikembalikan kepada rakyat, saya tiada rungutan kerana lebih banyak diberikan (kepada rakyat) adalah lebih baik,” kata Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas perkara sama, Razali berkata Bajet 2018 bukanlah bajet ‘gula-gula’ seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat untuk menambah pendapatan dalam mendepani kos sara hidup yang tinggi.

“Ada bantuan mikrokredit diberikan Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia dan galakan kepada pengusaha untuk berniaga bagi menambah pendapatan, pengurangan cukai kepada nisbah yang rendah untuk mereka tambah pendapatan,” katanya.

Mengenai Belanjawan Alternatif 2018 dibentangkan Pakatan Harapan yang antara lain mencadangkan penghapusan campur tangan politik dalam Felda, Mohd Rafizi berkata modul Felda ketika awal penubuhannya adalah terbaik dan menyaksikan agensi pembangunan tanah itu ditadbir oleh mereka yang pakar.

“Misalnya kalau perladangan, ada pakar perladangan, kalau hartanah orang yang pakar dalam itu dan dari segi tata kelola urusan Felda, ia boleh bertanggungjawab sama ada kepada lembaga pengarah, jabatan dan lain-lain,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya pentadbiran Felda diserahkan kepada mereka yang arif dalam bidang itu manakala ahli politik hanya perlu memastikan pengurusan agensi itu dikendalikan secara cekap seperti dikehendaki rakyat.

Mohd Rafizi turut mengakui Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah memainkan peranan yang baik bagi memastikan pengurusan Felda berada pada landasan yang betul dan baik untuk masa depan peneroka.

Turut senada dengan kenyataan Mohd Rafizi berhubung Felda, Razali mengakui Shahrir telah menjalankan tugas dengan baik.

Beliau berkata tindakan Shahrir menyusun semula pengurusan Felda dengan memberikan tanggungjawab kepada individu yang layak, banyak membantu perjalanan agensi itu.

“Contohnya ada wakil daripada Lembaga Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) serta melantik peguam, akauntan termasuk wakil Kementerian Kewangan serta wakil Felda sendiri,” katanya sambil menyifatkan individu itu sebagai profesional serta berkecuali, dan bertindak semata-mata untuk memastikan Felda mendapat faedah maksima.

— BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomiNasional