Premis khusus buat warganegara Malaysia, bangsa Melayu cetus kontroversi

Harap maklum bahawa kami menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang aktiviti penerangan semasa promosi dijalankan. Hanya warganegara Malaysia yang berbangsa MELAYU sahaja dibenarkan masuk. Segala kesulitan amat dikesali."

JOHOR BAHRU: Sebuah premis menjual produk kesihatan dan barangan rumah di Larkin Perdana, Johor Bahru menimbulkan kontroversi selepas memaparkan notis yang disifatkan berbaur perkauman.

Notis berkenaan yang terpapar di pintu masuk hanya membenarkan warganegara Malaysia berbangsa Melayu untuk memasuki premis tersebut dan hanya penggunaan Bahasa Melayu dibenarkan, lapor Channel News Asia yang memetik laporan akhbar China Press.

Notis yang tertera dalam bahasa Melayu dan Cina itu berbunyi: “Harap maklum bahawa kami menggunakan bahasa Melayu dalam sebarang aktiviti penerangan semasa promosi dijalankan. Hanya warganegara Malaysia yang berbangsa MELAYU sahaja dibenarkan masuk. Segala kesulitan amat dikesali.”

Dalam pada itu, pengurus kedai berkenaan dipetik sebagai berkata, ia hanya strategi pasaran syarikat dan bukan bertujuan mendiskriminasi pelanggan berbangsa Cina.

Tambahnya, syarikat itu tidak mengamalkan diskriminasi bangsa kerana beberapa cawangannya di Johor dan negeri-negeri lain dikhususkan untuk pelanggan berbangsa Cina.

Notis dalam bahasa Cina bertulis: “Pelanggan Cina diminta mendapatkan lokasi kedai yang khusus buat pelanggan Cina daripada pengurus kedai dan berkunjung ke lokasi tersebut.”

September lalu, Sultan Johor membidas langkah sebuah kedai dobi layan diri di Muar yang tidak membenarkan pelanggan bukan Islam menggunakan perkhidmatannya.

Kategori
BeritaNasional