Polis tahan 12 individu, rampas dadah RM6.2 juta

Selain merampas dadah bernilai RM6.2 juta, 12 individu termasuk seorang pakar kimia warga tempatan turut ditahan.

JOHOR BAHRU: Polis berjaya menumpaskan aktiviti sebuah makmal dadah di Johor Bahru yang dipercayai menghasilkan dadah untuk dieksport ke Indonesia dan Singapura.

Selain merampas dadah bernilai RM6.2 juta, 12 individu termasuk seorang pakar kimia warga tempatan turut ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata anggotanya berjaya menemui dadah serbuk seberat 23.05 kilogram pelbagai jenis, termasuk 107.4 liter cecair disyaki dadah syabu dan 867 pil ekstasi.

Dalam operasi yang dijalankan pada 10 Julai lalu itu, polis merampas 4 pucuk pistol jenis semi auto dan revolver, 140 butir peluru, sebutir bom tangan, pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

12 ahli sindiket yang ditahan termasuk tujuh lelaki dan lima wanita sebahagian besarnya adalah warga Vietnam, China dan Singapura yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kita mengalu-alukan pelancong, tapi datang sini hormati undang-undang negara ini. Jangan cuba hendak jadikan Malaysia tempat proses dadah, mengedar dadah.

“Kalau kamu berbuat demikian, tentukan la kita kan pastikan kamu dicekup… kita tak perlukan pelancong seperti ini,” katanya.

Pada operasi sama, polis juga merampas pelbagai jenis mata wang bernilai RM57,000, tujuh kenderaan mewah serta barangan kemas.

Hasil saringan air kencing, enam daripada suspek positif dadah dan pihak polis masih mencari saki baki ahli sindiket berkenaan yang masih baru beroperasi di negeri itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kategori
BeritaNasional