Polis sahkan terima laporan berhubung insiden perlawanan Malaysia-Indonesia

Dalam sidang media selepas perlawanan itu semalam, Ketua Jurulatih Indonesia Luis Milla Aspas mendakwa beberapa pemainnya cedera akibat terkena mercun yang didakwa dilontar dari tempat duduk penyokong Malaysia ketika sedang memanaskan badan.

SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian letupan mercun yang dilontar dari tempat duduk penyokong Malaysia ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Shah Alam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata laporan polis berkenaan dibuat anggotanya yang bertugas mengawal keselamatan di dalam stadium selepas tamat perlawanan.

“Siasatan mengenai insiden ini sedang dijalankan dan polis memandang serius terhadap isu keselamatan semua pihak termasuklah penonton, pemain dan pegawai yang berada di stadium.

“Sementara siasatan dijalankan, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Dalam sidang media selepas perlawanan itu semalam, Ketua Jurulatih Indonesia Luis Milla Aspas mendakwa beberapa pemainnya cedera akibat terkena mercun yang didakwa dilontar dari tempat duduk penyokong Malaysia ketika sedang memanaskan badan.

Sementara itu dalam satu lagi kenyataan, Shafien berkata pihaknya sedang mengesan sekumpulan suspek yang didakwa memukul penyokong pasukan Indonesia di perkarangan hentian bas di Persiaran Sukan, Seksyen 13, di sini kira-kira 3.45 pagi tadi.

Malaysia menumpaskan Indonesia dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan berkenaan dan bakal berdepan juara bertahan, Thailand, Selasa ini.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasionalSukan