Pita data CIMB hilang: Polis buka kertas siasatan, kemungkinan cuai

Mungkin ada sedikit unsur kecuaian melibatkan kakitangan yang mengendalikan pita data tersebut

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung kehilangan pita data sokongan CIMB Bank yang hilang pada 13 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan awal polis mendapati kecuaian menjadi punca kehilangan pita tersebut.

“Kita telah buka kertas siasatan dan menjalankan siasatan. Setakat yang kita tahu berdasarkan siasatan, kita belum terima apa-apa petunjuk lagi.

“Mungkin ada sedikit unsur kecuaian melibatkan kakitangan yang mengendalikan pita data tersebut,” katanya pada sidang media selepas program Perhimpunan Pegawai Awam Ke-11 bersama Ketua Polis Negara di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Beliau pada masa sama menafikan sebarang unsur sabotaj dalam kes itu.

Ujarnya, orang awam tidak perlu khuatir akan kes tersebut kerana ia tidak mendatangkan masalah kepada pelanggan.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kes dikendalikan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Kategori
BeritaNasional