Perkhidmatan awam beri komitmen sepenuhnya laksana Bajet 2018 – KSN

Selain itu, penjawat awam turut diberikan cuti tanpa rekod untuk menunaikan umrah dan peningkatan pencen terendah ke RM1,000 bagi mereka yang berkhidmat sekurang-sekurangnya 25 tahun

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan peruntukan yang disalurkan melalui Bajet 2018 memanfaatkan rakyat dan negara sepenuhnya.

Katanya, perkhidmatan awam akan memberi komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan Bajet 2018 dengan segera berdasarkan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membolehkan rakyat dapat terus menikmati dan memperolehi faedah seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan.

“Perkhidmatan Awam Malaysia akan terus berdiri teguh bersama-sama dengan kerajaan berasaskan prinsip wala’ dan setia bagi merealisasikan aspirasi pembangunan negara dan jaminan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan di Parlimen.

 

Ali turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan di atas pemberian insentif dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam seperti kenaikan pangkat secara “time-based” kali kedua untuk kumpulan pelaksana, waktu kerja fleksi bagi pakar perubatan dan penambah waktu kerja berperingkat.

Selain itu, penjawat awam turut diberikan cuti tanpa rekod untuk menunaikan umrah dan peningkatan pencen terendah ke RM1,000 bagi mereka yang berkhidmat sekurang-sekurangnya 25 tahun.

“Penghargaan juga dirakamkan kepada kerajaan di atas keputusan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam yang akan dibayar pada Januari 2018 sebanyak RM1,000 dan RM500 sempena Hari Raya Aidil Fitri.

Pesara pula akan menikmati sebanyak RM750, di mana RM500 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya menjelang Hari Raya,” katanya.

–BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomiNasional