Perhimpunan Solidariti: “Tiada wakil dari Amanah” – Salahuddin

"Kalau betul-betul serius, panggillah pemimpin kami, (Pakatan Harapan) bermesyuarat mengenai perkara ini.

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan menghantar wakil bagi Perhimpunan Solidariti dalam memperjuangkan nasib rakyat Baitulmaqdis di Palestin di Masjid Putra pada 22 Disember ini.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata ini kerana pihaknya tidak menerima apa-apa jemputan rasmi untuk menyertai perhimpunan ini.

“Kalau betul-betul serius, panggillah pemimpin kami, (Pakatan Harapan) bermesyuarat mengenai perkara ini.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang bentuk jemputan,” kata Salahuddin.

Walaupun Amanah tidak akan menghadiri perhimpunan tersebut, Salahuddin menyatakan bahawa pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Dalam hal ini, (isu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel) kami komited mempertahankan rakyat Palestin.

“Malah, sejak dari mula isu ini timbul, kami sudah menghantar memorandum dan mengemukakan bantahan berhubung perkara ini,” tegas Salahuddin dalam satu sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kesemua pemimpin dari mana-mana parti politik menyertai Perhimpunan Solidariti dalam memperjuangkan nasib rakyat Baitulmaqdis di Palestin.

Menurut beliau, perbezaan agama serta fahaman politik harus diketepikan pembangkang dalam memperjuangkan isu ini demi mempromosikan keamanan bersama.

Kategori
BeritaNasional