Penyelewengan dana KKLW: Shafie Apdal mungkin dipanggil SPRM

Mohd Shafie yang meninggalkan UMNO pada Julai tahun lalu, kini merupakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkemungkinan akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana awam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah.

Menurut sumber, belum dapat dipastikan bila bekas menteri KKKLW itu akan dipanggil.

“Setakat ini belum pasti lagi (bila akan panggil), tetapi ada kemungkinan (akan dipanggil),” kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular di laman sosial apabila Mohd Shafie merupakan antara individu yang akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana kementerian itu di Sabah.

Nama Mohd Shafie mula disebut selepas SPRM menahan seorang individu dipercayai seorang ahli perniagaan di sebuah rumah di Putatan, Sabah kira-kira pukul 9.30 malam, Selasa lalu.

Mohd Shafie yang meninggalkan UMNO pada Julai tahun lalu, kini merupakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam pada itu, sumber menambah, tiga Ketua Pemuda dari dua parti politik di Sabah yang ditahan SPRM Isnin lalu, dipercayai berperanan sebagai pelobi projek.

Sumber memberitahu, ketiga-tiga mereka dipercayai menjadi orang tengah di antara kontraktor dan individu yang boleh memberikan sesuatu projek.

“Siasatan awal mendapati, mereka berperanan sebagai pelobi projek … orang tengah antara kontraktor dan individu (meluluskan) projek,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie ketika dihubungi menyerahkan perkara itu kepada siasatan SPRM dan enggan mengulas lanjut.

“Saya tiada apa-apa mahu komen, kerana masih dalam siasatan SPRM. Tetapi, kasihan adik saya, apabila gambar rumah yang tersebar seperti banglo, sebaliknya hanya rumah teres biasa.

“Sebarang komen dan kenyataan media saya akan maklumkan kemudian,” tambahnya.

Sebelum melakukan penahanan terhadap ahli perniagaan itu, SPRM pada petang Selasa telah menggeledah rumah ahli perniagaan itu.

Dia antara tujuh individu yang sudah ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana itu, yang didakwa berlaku di Sabah, antara tahun 2010 dan 2016.

Kategori
BeritaBorneoNasional