Penyedia perkhidmatan e-hailing gembira dapat sokongan kerajaan

Pengurus Besar Uber Malaysia dan Singapura Warren Tseng berkata syarikat itu bersedia untuk membantu individu yang berminat untuk memenuhi peraturan menyertai industri itu

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan e-hailing gembira dengan sokongan kerajaan kepada industri itu bagi menambah baik landskap pengangkutan awam negara secara menyeluruh.

Pegawai Uber dan Grab berkata mereka menyambut baik langkah kerajaan untuk memperkasakan lebih ramai lagi rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada industri e-hailing, dan memberikan mereka peluang mencari pendapatan dan meningkatkan taraf sosioekonomi.

Semasa pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesemua pemandu teksi berdaftar yang berhasrat untuk menyertai perkhidmatan e-hailing akan diberikan geran RM5,000 untuk membeli kereta baharu.

Pengurus Besar Uber Malaysia dan Singapura Warren Tseng berkata syarikat itu bersedia untuk membantu individu yang berminat untuk memenuhi peraturan menyertai industri itu.

“Kami menjangka melaksanakan teladan yang dipelajari dari pasaran negara jiran bagi memastikan peralihan yang efisyen dan berkesan terhadap persekitaran peraturan baharu ini untuk pemandu-rakan kongsi kami di Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh pula berkata inisiatif kerajaan ini akan menyediakan platform yang adil bagi industri pengangkutan awam.

— BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomiNasional