Pembunuh upahan antara 800 penjenayah dikehendaki di Kelantan

Ada antara suspek yang dikehendaki ini bukan sahaja oleh polis Kelantan tetapi oleh polis negeri lain kerana turut melakukan jenayah di sana.
KOTA BHARU: Pembunuh upahan dipercayai antara orang yang tersenarai dalam lebih 800 penjenayah atau orang yang dikehendaki oleh Polis Kontinjen Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mohd Fakri Che Sulaiman berkata daripada jumlah yang tersenarai itu, terdapat 13 individu yang dikategorikan terbabit dalam kes berat seperti bunuh, culik dan mendatangkan kecederaan.

“Kesemua penjenayah ini sukar dikesan kerana sentiasa bertukar alamat, mengubah penampilan diri tetapi yang membimbangkan ialah mereka berada di kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Mohd Fakri berkata polis sudah menjalankan operasi termasuk sekatan jalan raya bagi menahan mereka namun masih gagal.

Beliau berkata kes jenayah berlaku disebabkan adanya golongan berkenaan iaitu yang suka melakukan jenayah dan sebahagian daripada mereka ini biasanya sudah mempunyai rekod.

“Ada antara suspek yang dikehendaki ini bukan sahaja oleh polis Kelantan tetapi oleh polis negeri lain kerana turut melakukan jenayah di sana.

“Ada kes seorang lelaki yang dikehendaki ini dipercayai bertindak sebagai pembunuh upahan. Dia sekarang kemungkinan sedang bersembunyi dan akan menjalankan tugasnya sebaik sahaja keadaan reda,” katanya.

Mohd Fakri berkata gambar kesemua penjenayah akan ditempatkan di kawasan tumpuan awam seperti masjid dan balai polis.

“Kebanyakan penjenayah ini dipercayai amat agresif dan orang ramai dilarang sama sekali untuk cuba membuat tangkapan kerana boleh mendatangkan bahaya, cuma mereka diminta menyalurkan maklumat kepada polis untuk tindakan lanjut ” katanya.

Katanya sebelum ini terdapat seramai 1,086 penjenayah yang tersenarai tetapi 264 daripadanya berjaya ditahan dan digugurkan daripada senarai orang dikehendaki .

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional