Pembabitan BNM dalam urus niaga tanpa pengetahuan saya, kata Dr Mahathir

Katanya, pada masa itu Malaysia mengalami kesan negatif kerana pinjaman negara dalam Yen telah menjadi hampir tiga kali ganda lebih mahal dalam nilai mata wang Malaysia akibat daripada peristiwa "Plaza Accord"

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini bahawa pembabitan Bank Negara Malaysia (BNM) secara aktif dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1980-an, tanpa pengetahuan beliau.

Beliau berkata bekas gabenor ketika itu Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussein telah memutuskan untuk melibatkan BNM secara aktif dalam urus niaga mata wang asing bagi tujuan mengimbangkan volatiliti mata wang ringgit untuk memelihara rizab dan ekonomi negara.

“Walaupun saya cuma dapat tahu tentang penglibatan aktif urus niaga mata wang asing oleh BNM selepas daripada itu, saya menerima alasan kenapa ia dilakukan oleh BNM di bawah pentadbiran Jaffar,” beliau memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing BNM pada tahun 1990-an.

Dr Mahathir, 92, yang merupakan saksi ke-24 berkata pada tempoh hujung 1980-an beliau mempunyai pengetahuan tentang perkembangan kenaikan secara paksa nilai Yen Jepun yang dilakukan oleh beberapa negara besar iaitu Negara-negara Anggota G7 .

Katanya, pada masa itu Malaysia mengalami kesan negatif kerana pinjaman negara dalam Yen telah menjadi hampir tiga kali ganda lebih mahal dalam nilai mata wang Malaysia akibat daripada peristiwa “Plaza Accord”.

Dr Mahathir, yang membaca pernyataannya, berkata pada ketika itu nilai impot barangan dalam Yen turut naik hampir tiga kali ganda.

Katanya, beliau tiada pengetahuan peribadi berhubung cara, butiran, keuntungan ataupun kerugian terperinci mana-mana urus niaga mata wang asing yang dijalankan boleh BNM semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata semasa perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri, beliau tidak ada pengetahuan ataupun sebab untuk mengesyaki bahawa BNM menjalankan apa-apa urusan yang bertentangan dengan kuasa yang diberikan kepada BNM di bawah undang-undang.

“Semestinyalah, sekiranya saya mempunyai apa-apa sebab untuk berfikiran sebaliknya, saya akan mengambil langkah yang perlu sebagai Perdana Menteri untuk mengenal pasti perkara itu,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga ada memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja dalam tempoh lewat 1980-an beliau pernah dijemput oleh Jaffar ke bilik urus niaga BNM, di Kuala Lumpur.

Katanya, cuma sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri beliau masuk ke bilik urus niaga kerana pada ketika itu Jaffar mahu menunjukkan kepada beliau tempat di mana urus niaga mata wang asing itu dijalankan.

“Dalam ingatan saya, pada lawatan itu saya cuma berada di sana untuk tempoh masa lebih kurang setengah jam sahaja. Tujuan saya hadir di situ adalah untuk memenuhi hasrat dan jemputan Allahyarham Tan Sri Jaffar semata-mata,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi Perdana Menteri, BNM menjalankan operasi dan tadbir urusnya secara bebas sebagai satu badan korporat di bawah \”Central Bank of Malaysia Ordinance 1959 .

“Saya sebagai Perdana Menteri, tidak pernah mencampuri urusan dan pentadbiran BNM sama sekali dan saya juga percaya saya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mencampuri polisi, urusan dan pentadbiran BNM itu,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata BNM perlu menampilkan laporan kewangan tahunannya yang perlu diaudit oleh Ketua Audit Negara dan kemudiannya diserahkan kepada Menteri Kewangan untuk seterusnya dibentangkan di Parlimen.

“Setakat ingatan saya, laporan audit tahunan BNM bagi tahun 1992 telah dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet pada awal tahun 1993.

“Apa yang telah dibentangkan dan dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet itu adalah sama seperti yang telah dibentangkan di Parlimen selepas itu,” kata Dr Mahathir.

Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said serta Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Selain itu, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan.

— BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomiNasional