PDAM Mahu Model Perniagaan Minyak Diubah

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) meminta kerajaan mengubah model perniagaan stesen minyak daripada milikan tunggal kepada sendirian berhad bagi membantu pertumbuhan industri minyak di negara ini.

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) meminta kerajaan mengubah model perniagaan stesen minyak daripada milikan tunggal kepada sendirian berhad bagi membantu pertumbuhan industri minyak di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Rofaie Mohd Hamdan, berkata menerusi model perniagaan milikan tunggal, hanya seorang pengusaha dibenar mengendalikan sebuah stesen menyebabkan ia tidak berkembang.

“Bagaimanapun, jika menggunakan model sendirian berhad, pengusaha boleh bergabung dengan pengusaha lain untuk meluaskan perniagaan dan saling membantu antara satu sama lain.

“Ini kerana situasi semasa yang menunjukkan ketidakstabilan harga jualan bahan api turut menjejaskan industri sekali gus menyebabkan platform milikan tunggal tidak lagi relevan.

“Dianggarkan 200 daripada 3,000 stesen minyak sudah gulung tikar akibat tidak mampu bertahan dan bersaing dengan stesen minyak yang lebih besar dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Diskusi Pra Bajet 2018 bagi membincangkan cadangan memantapkan ekonomi usahawan Bumiputera menjelang Bajet 2018, anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) di sini, malam ini.

Turut hadir, Presiden PERDASAMA, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Dewan PERDASAMA Muda, Muhammad Taqiuddin Halim.

Sementara itu, Mohd Rofaie berkata, perubahan harga jualan bahan api setiap minggu menyebabkan pengusaha tidak boleh merancang perolehan pendapatan bulanan walaupun ia memberi kelebihan kepada pengguna ketika harga turun.

Contohnya, ketika harga jualan meningkat pengusaha memerlukan modal tambahan untuk membeli bekalan.

“Sebaliknya, ketika harga jualan turun, pengusaha akan kerugian pula kerana membeli bekalan bahan api dalam jumlah terhad mengikut kuota masing-masing,” katanya.

 

 

Kategori
Nasional