Pasport Malaysia ke-6 paling ‘power’ di dunia

Dalam kalangan negara Asia, Malaysia di tangga keempat selepas Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia kini berada di ranking keenam pasport paling ‘power’ dunia

Pengikirafan ini setanding dengan pasport negara maju seperti Ireland, Kanada dan Amerika Syarikat.

Keempat-empat negara ini berkongsi markah bebas visa 154 mata, yang dikeluarkan oleh laman web ‘Global Passport Power Rank 2017’ oleh Arton Capital, penasihat global terkemuka bagi penyelesaian kediaman dan kewarganegaraan.

Dalam kalangan negara Asia, Malaysia di tangga keempat selepas Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

Keputusan Paraguay menghapuskan syarat visa untuk warga Singapura, mendorong pasport Singapura menduduki tempat pertama Indeks Pasport iaitu pasport paling diiktiraf di dunia dengan memperoleh markah bebas visa 159.

Sepuluh pasport paling diiktiraf di dunia kebanyakannya oleh negara Eropah, dengan Jerman menduduki tempat pertama sejak tahun 2015.

Sejak awal 2017, kedudukan pertama dikongsi antara Jerman dan Singapura.

“Buat pertama kalinya, negara dari Asia diiktiraf sebagai pemegang pasport paling diiktiraf di dunia,” menurut Arton Capital (Pejabat Singapura) dalam laman webnya hari ini.

“Ini adalah bukti hubungan diplomatik inklusif Singapura dan dasar luar negerinya yang berkesan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sedang Singapura terus mengukuhkan kedudukannya, ranking pasport Amerika Syarikat terus merosot sejak Presidennya, Donald Trump menerajui negara itu, menurut laman web tersebut.

Terbaharu, Turki dan Republik Afrika Tengah membatalkan status bebas visa terhadap pemegang pasport negara itu, menurut laman web tersebut.

Indeks Pasport adalah rujukan dunia mengenai semua pasport.

Dibangunkan oleh Arton Capital, Indeks Pasport telah menjadi alat interaktif dalam talian paling popular untuk memaparkan, menyusun dan menaraf pasport dunia.

Indeks Pasport menyenaraikan pasport sesebuah negara berdasarkan akses rentas sempadan dan ia memberikan markah berdasarkan jumlah negara yang boleh dikunjungi oleh seseorang pemegang pasport tanpa visa atau memerlukannya setibanya di negara berkenaan.

Kategori
BeritaDuniaNasional